Friday, January 24, 2014

ANDAI MALAM ITU SELAMANYA


Alhamdulillah, kita sedang berada dipertengahan musim sejuk dan kita telahpun menikmati keindahan salju di Tanah Syam ini yang turun selama beberapa hari pada minggu yang lalu. Jika kita amati keadaan di musim sejuk ini, banyak sekali kelebihan dan rahmat yang Allah Ta`ala limpahkan buat kita selaku hamba-Nya yang Mukmin dan penuntut ilmu khususnya. Siangnya yang singkat dan malam yang panjang menjadikan musim ini begitu indah untuk beribadah.

Kata Ibnu Mas`ud Radhiyallahu `anhu;

مرحبا بالشتاء، تنزل فيه البركات ويطيل فيه الليل للقيام، ويقصر فيه النهار للصيام
“Selamat datang musim sejuk. Diturunkan padanya keberkatan. Dan panjangnya malam untuk qiyam, dan pendeknya siang untuk berpuasa.”

Orang-orang soleh terdahulu begitu menghargai musim sejuk, meskipun dalam kedaan yang penuh kesukaran. Sukar untuk bangkit dari pembaringan, sukar untuk menyentuh air mengambil wudhu`, dan pelbagai kesukaran lagi. Namun kesukaran yang dihadapi dalam menyempurnakan ibadah merupakan sebaik-baik amalan, jika kita menghadapinya dengan penuh mujahadah dan sabar.

MALAM SEHINGGA QIYAMAT?

Allah menyatakan di dalam ayat 71-73 Surah al-Qashash;

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِن جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الَّيْلَ سَرْمَداً إِلَى يَوْمِ الْقِيَـمَةِ مَنْ إِلَـهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِضِيَآءٍ أَفَلاَ تَسْمَعُونَ

Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?"


قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ النَّهَارَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِلَيْلٍ تَسْكُنُونَ فِيهِ ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?"


وَمِنْ رَحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.




Diantara tanda kebijaksanaan Allah `Azza Wa Jalla dan rahmat-Nya buat makhluk-Nya; diciptakan pergiliran diantara siang dan malam. Tidak dapat tidak manusia memerlukan kedua-duanya untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Dijadikan ketenangan pada waktu malam untuk manusia berehat daripada kesibukan beraktiviti pada siangnya. Panjangnya malam di musim sejuk ini kadangkala membuatkan kita merindu cahaya siang. Bayangkan jika malam berterusan tanpa digilirkan diantara siang, tanpa cahaya matahari, pastinya manusia akan berasa jemu dan segala aktiviti juga menjadi terhad. Alhamdulillah, sewajarnya kita memperbanyakkan syukur diatas kurniaan Allah Ta`ala yang Maha Bijaksana mengatur urusan alam dan makhluk-makhluk di dalamnya.



6 JAM UNTUK TIDUR

Kajian di barat mengatakan bahawa kesejukan di musim ini menyebabkan kita sering berasa mengantuk disebabkan oleh kekurangan cahaya. Simptom ini dinamakan sebagai “winter tiredness” (bacaan lanjut di http://www.nhs.uk/Livewell/tiredness-and-fatigue/Pages/winter-tiredness.aspx ). Berdasarkan situasi musim sejuk di sini, tempoh masa di waktu malam adalah kira-kira 13 jam. Panjangnya tempoh waktu tersebut bukan bermaksud tidur kita juga perlu dipanjangkan. Bagi seorang penuntut ilmu, hidupnya perlu berdisiplin dari segenap sudut kehidupan sehariannya. Bermula daripada waktu bangun tidur, beribadah, makan, belajar, sehingga tidur semula; segalanya perlu diuruskan dengan cermat tanpa disiakan untuk perkara yang tidak memberi faedah.


Dr. Solah al-Khalidi Hafizhahullah di dalam buku motivasinya “al-Khittoh al-Barraqah” menyatakan :

“Waktu tidur perlu ditentukan dan berdisiplin terhadapnya tanpa ditambah tempohnya. Mencukupi bagi insan waktu tidur sederhana yang normal iaitu selama 6 jam sehari, bersamaan 1/4 daripada tempoh 24 jam seharian. Jika seorang penuntut ilmu itu tidur 8 jam ataupun 10 jam sehari, alangkah ruginya! Mengapa disiakan umurnya dua atau tiga jam hanya untuk tidur?! Hendaklah penuntut ilmu beriltizam dengan tmpoh 6 jam untuk waktu tidurnya tanpa dilebihkan kecuali jika sakit, dan tidak juga dikurangkan kerana ianya akan memberi kesan kepada urusannya, kerana tidak boleh diambil hak manusia daripada waktu tidurnya, dia akan memberontak. Penuntut ilmu juga perlu memilih waktu yang terbaik untuk tidur, iaitu hendaklah pada waktu malam, untuk mencapai tujuan sebenar tidur (berehat), kerana tidur di waktu malam mempunyai perbezaan ketara dengan tidur di waktu siang. Sesetengah manusia suka berjaga dalam tempoh yang lama di waktu malam, tidak tidur hinggalah ke hujung malam, kemudian mengganti tidurnya di waktu siang.”



"Al-Khittah al-Barraqah Lidzi an-Nafs at-Tawwaqah - Tulisan Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi. Sangat disarankan untuk dibaca oleh penuntut ilmu, membicarakan mengenai rutin hidup seorang penuntut ilmu, sifat-sifat mereka,bacaan yang membangkitkan semangat dan motivasi.




Allah Subhanahu Wa Ta`ala memberi motivasi dan panduan berta`amul dengan malam buat kita dalam ayat ini;

ومن اليل فاسجد له وسبحه ليلا طويلا

Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakansembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam (al-Insan : 26.


Tempoh masa waktu malam di musim sejuk yang lebih panjang berbanding siang memberi kemudahan kepada kita untuk menyelesaikan pelbagai perkara yang tidak sempat dilakukan pada siangnya, disamping kesunyian di waktu tersebut menjadikan waktu malam waktu yang terbaik untuk penuntut ilmu menelaah pelajaran, bertahajjud dan bermunajat kepada Allah Ta`ala.



Benarlah kata orang-orang soleh terdahulu;

دقائق الليل غالية، فلا ترخصوها بالغفلة
“Saat-saat di waktu malam itu begitu mahal, maka jangan murahkan ia dengan perkara yang melalaikan.”

Maka janganlah dipendekkan malam-malam kita dengan panjangnya dengkuran dan lena. Bersabarlah dalam mengharungi musim sejuk ini, dan berlapang dada dalam menuntut ilmu kerana menuntut ilmu merupakan perjuangan; perjuangan mengeluarkan diri daripada gelap dan hinanya kebodohan dan perjuangan mencari keredhaan Allah Ta`ala dalam kehidupan.

Imam Ahmad Bin Faris ar-Raazi yang merupakan seorang sasterawan Arab menyatakan dalam bait syairnya:

إذا كان يؤذيك حر المصيف و يبس الخريف و برد الشتاء و يلهيك حسن زمان الربيع فأخذك للعلم قل لي، متى؟

"Sekiranya kepanasan musim panas, kering musim luruh, dan kesejukan musim sejuk menyakitimu, juga keseronokan musim bunga melalaikan kamu, Katakan padaku, bilakah waktumu untuk ilmu?"

Maka bersungguh-sungguhlah wahai penuntut ilmu walau musim apapun yang menyapa dirimu. Jadikan taqwa sebagai bekalan dalam perjalanan, al-Quran dan sunnah Nabi Shallallahu `alaihi wasallam sebagai motivasi dan panduan. Mudah-mudahan Allah Ta`ala sentiasa mengatur dan memperbaiki diri kita dan setiap urusan kita, Insya-Allah.


Wallahu `alam.


Nur Adilah Ibrahim,
Subuh Jumu`ah Mubarakah,
27.12.2013, Urdun.

Thursday, November 28, 2013

Apa Yang Kamu Amalkan

Bismillah..

Coretan sekadar ingin berkongsi kegembiraan dan keserabutan kepala akibat lama tak menulis.

Alhamdulillah pagi tadi selamat mengkhatamkan kitab "Riyadhusshaalihin" susunan Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta'ala. Saya mulakan pembacaan kitab ini pada bulan September tahun lepas dan sengaja saya tidak mensegerakan pembacaan agar dapat menghayati sedikit demi sedikit intisari hadis-hadis yang terkandung di dalam kitab tersebut.

Di dalam kitab Riyadhussalihin ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah menyusun hadis-hadis mengenai akhlak dan adab yang perlu kita amalkan selaku Muslim. Ada doa, cara makan, tidur, galakan beramal, ancaman dan sebagainya.



IMAM AN-NAWAWI RAHIMAHULLAH TA`ALA


Terlanjur bercerita mengenai kitab ini, saya nukilkan juga secebis kisah hidup imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta`ala.
Di penghujung kitab Riyadhusshalihin, beliau mencatatkan tarikh beliau menyelesaikan susunan kitab tersebut iaitu pada 14 Ramadhan tahun 670 Hijri di Dimasyq - 6 tahun sebelum beliau meninggal dunia. Imam an-Nawawi rahimahullah lahir pada tahun 631 Hijri dan meninggal pada tahun 676 hijri ketika usianya mencecah 45 tahun. Tidaklah terlalu tua. Tetapi dikatakan karya penulisannya kira-kira 40 buah. Selain Riyadhusshalihin, diantara karyanya yang masyhur ialah Syarah Shahih Muslim, al-Adzkar,Minhaj at-Tholibin dan banyak lagi.

Patah Tumbuh, hilang berganti. tetapi kehilangan ulama` tiada penggantinya. Karya-karya yang beliau tinggalkan menyebabkan beliau terus 'hidup' meskipun jasadnya tiada. Kita pula 'mati' meskipun jasad masih bernyawa.

Sejarah juga mencatatkan bahawa Imam an-Nawawi adalah ulama yang membujang sehingga ke penghujung usianya dek kerana keasyikannya dengan ilmu. Subhanallah..
Mudah-mudahan kisah ini menjadi motivasi buat kita untuk terus giat menuntut ilmu.






Sukar Menerima Nasihat

Andaikata di sekeliling kita ini tiada lagi manusia yang kita yakini untuk mendengarkan tutur bicaranya, cubalah mentadabbur al-Quran dan dipadukan pula dengan hadis Nabi shallahu `alaihi wasallam. Dr. Zahazan pernah berpesan agar kita jangan tidur sebelum membaca hadis Nabi shallahu `alaihi wasallam walaupun sepotong.

Pernah sesekali atas izin dan perancangan Allah Ta`ala, hadis-hadis yang saya baca pada hari tersebut begitu sesuai sekali dengan situasi yang sedang saya alami pada saat itu, terkesan sehingga terasa sebak. ٍBenarlah, Allah itu Maha Pengasih.



Apa yang Kita Amalkan

Hakikatnya, banyak manapun buku yang kita baca, tidak memberi erti apa-apa sekiranya tidak diamalkan. Tersebut di dalam sebuah athar :

من عمل بما يعلم ورثه الله علم ما لم يعلم
"Barangsiapa yang mengamalkan apa yang dia ketahui, Allah akan mengurniakannya ilmu yang dia tidak ketahui."




اللهم لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم, اللهم علمنا ما ينفعنا وانفعنا بما علمتنا وزدنا علما

1705
Bayt `Ilmi, Urdun.






Monday, March 25, 2013

MENYAHUT SERUAN IQRA`

PERINGATAN: Jika sejak awal lagi anda sudah mengaku bahawa ‘saya memang tidak suka membaca’, maka tidak perlulah membazirkan masa anda bagi membaca artikel ini. Peace.

Bismillah al-Rahmaan al-Rahiim

Beberapa orang sahabat bertanya kepada saya bagaimana memupuk minat membaca dan terus istiqamah dengan tabiat tersebut. Sebenarnya saya sendiri bukanlah seorang yang gila baca, tetapi bagi menyahut seruan Iqra`; seruan pertama yang telah Allah wahyukan kepada Nabi kita Muhammad shallahu alaihi wasallam dan perasaan cinta kepada ilmu itu membuatkan saya terus membaca dan membaca.



Ingin sekali saya kongsikan kepada sahabat-sahabat sekalian beberapa kaedah yang saya gunakan agar minat membaca tetap subur di dalam jiwa. Saya sekadar menyenaraikan apa yang benar-benar saya amalkan sahaja dan ianya cuma secebis kuman berbanding pelbagai lagi kaedah yang lebih efektif di luar sana.


1. KESEDARAN

Kita perlu mengubah pemikiran sebelum mengubah kebiasaan yang ada pada diri kita.

Tanyakanlah pada diri kita :

Memadaikah pengetahuan yang kita ada?
Sudahkah kita mendalami agama Islam dengan sebaiknya?
Apakah persediaan kita dari sudut ilmu untuk membina rumahtangga?
Apakah persediaan kita dari sudut ilmu untuk mendidik anak-anak?
Adakah ibadah yang kita amalkan sehari-hari bertunjangkan ilmu atau sekadar taqlid?
Cukupkah ilmu yang kita ada untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Ta`ala?

Sahabat-sahabat, agama kita ini kaya dengan khazanah ilmu. Amatlah rugi jika kita kita tidak memanfaatkannya untuk kebaikan dunia dan akhirat kita. Ilmuan Islam terdahulu dan kini bersungguh-sungguh menghasilkan penulisan mereka untuk manfaat generasi akan datang. Jadikan perkara itu sebagai motivasi untuk kita terus membaca. Mereka tulis, kita tinggal membaca sahaja!

2. MELAZIMI MEMBACA AL-QURAN

Jawapan utama saya kepada sahabat-sahabat yang bertanya kepada saya; bagaimana untuk rajin dan suka membaca buku? Jawab saya : Rajinkan diri dahulu untuk membaca al-Quran secara konsisten.

Membaca al-Quran secara konsisten mengajar kita agar berdisiplin dan menyusun waktu sebaiknya. Dengan membaca al-Quran juga melatih fikiran kita agar lebih fokus. Masakan tidak, ketika kita membaca kalam Allah ini, pastinya kita akan meneliti baris-baris hurufnya, dengungnya dan segala hukum tajwidnya. Hidayah yang terkandung di dalam al-Quran akan mula tersingkap sedikit demi sedikit seandainya kita istiqamah membacanya setiap hari walaupun sekadar sehelai. Yakinlah sahabat.

3. BERTAHAP

Diantara punca kita cepat jemu ketika membaca adalah kerana kita membaca genre yang tidak sesuai dengan tahap kemampuan diri kita, lalu kita langsung meninggalkan aktiviti ini. Hanya diri kita yang tahu di mana tahap kita dan genre yang kita minati. Mulakan dari asas, sebagai contoh jika kita ingin membaca hadits nabi, mulakan daripada hadits 40 Imam Nawawi, kemudian Kitab Riyaadhussaalihin dan seterusnya.

Walaupun begitu, kita tidak boleh sekadar selesa dengan genre yang kita minati sahaja. Pelbagaikan bahan bacaan untuk meluaskan pemikiran kita dan tidak hanya membaca bahan picisan.

4. FOKUS

Membaca memerlukan fokus yang tinggi agar kita dapat menceduk sebanyak mungkin ilmu yang kita baca. Bagaimana untuk melatih fokus telah saya kongsikan di poin nombor 2. Kadangkala tanpa kita sedari, masa kita terbuang dengan membaca kerana kita membaca dalam keadaan yang tidak fokus lalu kita tidak dapat mengutip apa-apa manfaatpun melalui buku yang kita baca. Ianya menyebabkan kita mengulang kembali pembacaan kita beberapa kali. Membuang masa, bukan?

Apabila kita sudah berazam untuk membaca sesebuah buku, usahakan untuk membaca buku tersebut sehingga habis dan elakkan berniat untuk membacanya buat kali yang kedua. Bermaksud, fokuslah ketika membaca perenggan demi perenggan yang terdapat di dalam buku tersebut sehingga akhirnya.

Tidak kurang juga yang menjadikan aktiviti membaca sekadar ‘ubat tidur’. Hal ini tidaklah menjadi kesalahan tetapi ianya bukanlah tujuan utama kepada membaca.

5. MEMBACALAH DI MANA-MANA

Bawalah buku ke mana sahaja kita pergi. Barangkali nanti kita akan terpaksa menunggu lama di kaunter bank ataupun ketika menanti kedatangan guru. Jadi, masa yang terluang itu dapat diisi dengan membaca al-Quran ataupun buku. Kebiasaannya kita akan berasa malu untuk membaca di khalayak umum lebih-lebih lagi didalam suasana yang budaya membacanya masih di tahap minimum. Buanglah rasa malu itu dan suburkan budaya membaca. Jika bukan kita yang mulakan, siapa lagi?



Di zaman teknologi ini, kita mempunyai pelbagai kemudahan untuk membaca seperti software yang terdapat di dalam telefon pintar dan sebagainya. Manfaat telefon pintar itu biarlah setara dengan harga yang kita bayar ketika membelinya. Ketika ini lambakan buku elektronik boleh di muat turun secara percuma sahaja di internet. Lalu apa lagi alasan kita untuk tidak membaca?

6. MENCATAT ISI PENTING

Suatu ketika saya meminjam sebuah buku daripada seorang sahabat. Saya dapati di dalam buku tersebut banyak perkara yang boleh saya manfaatkan tetapi saya tidak mampu mengingatnya semua. Kerana bimbang manfaat tersebut hilang begitu sahaja seiring saya memulangkan buku itu, saya mendapat idea untuk mencatat isi-isi penting dan kata-kata hikmah yang terdapat di dalam buku tersebut. Ini kebiasaannya saya lakukan apabila membaca buku yang dipinjam.

Adapun jika buku tersebut milik kita sendiri, kita bebas untuk mencatat poin tambahan yang kita dapati, menggaris ataupun meng’highlight’. Kita juga boleh melakukan ringkasan kepada huraian panjang yang dibuat oleh penulis agar kita jelas dengan apa yang ingin disampaikan.

7. DISIPLIN

Statistik purata rakyat Malaysia yang membaca hanya pada kadar dua naskhah buku setahun. Purata dua naskhah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam tempoh setahun itu pula adalah bahan bacaan santai berupa komik, majalah dan akhbar.
(Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz2OYhKAF6T)

Sebenarnya, tanpa disiplin, kita tidak mampu untuk menghabiskan walau sebuah bukupun. Dr. Raghib as-Sirjani pernah menyatakan, membaca itu bukan suatu hobi tetapi ianya suatu keperluan, sebagaimana diri kita memerlukan minuman untuk terus hidup. Tetapkan target kita untuk membaca dan pastikan setiap hari kita peruntukkan sedikit waktu untuk membaca buku selain daripada buku yang kita pelajari di jami`ah.

8. JADIKAN BUKU TEMAN MUSAFIRMU

Pemandangan biasa yang kita lihat di Malaysia, masyarakat Cina gemar membaca hatta di dalam kenderaan sekalipun. Kita pula kadangkala terperangkap didalam pemikiran kita sendiri bahawa membaca di dalam kenderaan itu menyebabkan kepala pening. Itulah yang saya alami dahulu. Tetapi jika difikirkan semula, adakah pening ketika membaca di dalam kenderaan itu hanya dialami oleh bangsa Melayu sahaja? Lalu saya mengubah ‘mindset’ tersebut dan saya dapati ianya tidaklah sebagaimana yang difikirkan.

Kita mampu untuk membaca di dalam kenderaan sekiranya kita benar-benar fokus pada bahan yang dibaca. Saya pernah menghabiskan sebuah buku yang mempunyai lebih kurang 170 muka surat dalam masa dua hari sahaja ketika bermusafir jauh. Saya mencadangkan agar buku yang ingin dibaca ketika bermusafir ini hanyalah genre yang santai sahaja seperti karya motivasi, novel dan sebagainya.

Kata penyair : “Sebaik-baik teman duduk dan berbicara adalah buku, ianya tetap menemani kita walau teman yang lain pergi meninggalkan kita.”

9. AMALKAN

Segera amalkan apa yang kita baca kerana ianya membantu untuk ilmu tersebut lebih mudah terpahat di ingatan. 'Ceramah'kan ia bersama rakan-rakan, kongsikan di blog, Fb, Twitter dan sebagainya.

Kata ulama : “Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang diketahuinya, maka Allah akan merezekikannya ilmu yang dia tidak ketahui”.


PENUTUP

Setiap perkara yang kita suka untuk lakukan mempunyai risikonya tersendiri. Risiko utama jika kita suka membaca buku adalah kehabisan wang kerana membeli buku. Antara risiko yang lain, kita terpaksa mengurangkan waktu rehat, waktu berseronok bersama teman-teman dan aktiviti hiburan sampingan.

Sesungguhnya kecintaan kepada ilmu itu suatu hiburan yang tidak ternilai nikmatnya berbanding hiburan-hiburan yang lain.

Akhir kata, binalah peribadi kita dengan membaca kerana apa yang terzahir dari diri kita adalah melalui apa yang kita baca. Wallahu `Alam.



Mu`tah
25032013
1842