Thursday, April 17, 2014

Berharap Menjadi Sahabat Nabi.

Diantara pendorong untuk memugar rasa cinta dan rindu kepada Nabi Muhammad shallahu `alaihi wasallam adalah dengan melazimkan diri untuk menghayati hadis-hadis dan sirah baginda shallahu `alaihi wasallam. Melazimi hadis Nabi shallahu `alaihi wasallam perlu dijadikan salah satu daripada aktiviti seharian, tidak sekadar berHanaanaa.

Tatkala meneliti hadis-hadis nabi shallahu `alaihi wasallam, kita akan dapati sikap ramah dan gurauan nabi shallahu `alaihi wasallam terhadap si kecil Abu `Umayr, bagaimana Nabi shallahu `alaihi wasallam menyantuni seorang pemuda yang ingin berzina dengan cara yang penuh hikmah, juga di dalam beberapa hadis menyebutkan bahawa Nabi shallahu `alaihi wasallam seringkali menyedari ketiadaan mereka yang senantiasa berada berdekatan dengan baginda shallahu `alaihi wasallam. Baginda melayani segenap lapisan masyarakat.

Di dalam sebuah hadis baginda shallahu `alaihi wasallam menyebut;


أن امرأة سوداء كانت تقم المسجد، فسأل عنها النبي صلى الله عليه وسلم فقالوا: ماتت، فقال: أفلا كنتم آذنتموني؟ قال: دلوني على قبرها، فدلوه فصلى عليها.


"Suatu saat Rasulullah shallahu `alaihi wasallam menyedari kehilangan seorang wanita hitam yang biasa baginda lihat menyapu di masjid. Lalu baginda shallahu `alaihi wasallam bertanya kepada para sahabat. Mereka berkata, “Dia telah meninggal dunia.” Seakan-akan mereka meremehkannya. Rasulullah shallahu `alaihi wasallam berkata: “Mengapa kalian tidak memberitahu aku.” Lalu Rasulullah shallahu `alaihi wasallam minta ditunjukkan kuburnya, kemudian beliau shalat (jenazah) di atasnya." (Muttafaq alaih).

Menghayati kisah-kisah yang berkait dengan akhlak dan sikap Nabi shallahu `alaihi wasallam terhadap insan di sekelilingnya terkadang melahirkan rasa sebak, meruntun rindu yang dalam terhadap sosok yang bernama Muhammad shallahu `alaihi wasallam. Seringkali kita berharap, agar kita dapat hidup sezaman dengan baginda shallahu `alaihi wasallam, merasai damainya bicara baginda, ketenangan raut wajah dan garis senyumnya, ketegasan dan kesungguhan baginda shallahu `alaihi wasallam dalam beragama – benar-benar menggamit rindu!

Seringkali terfikir, beruntungnya seandainya kita dapat hidup sezaman dengan Nabi shallahu `alaihi wasallam meskipun sekadar menjadi seorang tukang cuci masjid! Barangkali juga kita tergolong dalam kalangan sahabat baginda shallahu `alaihi wasallam. Allah, tinggi benar cita-cita itu.

Dengan cita-cita tersebut yang terlahir daripada kerinduan yang dalam terhadap Nabi shallahu `alaihi wasallam, mari kita fikirkan semula; seandainya kita diberi peluang untuk hidup sezaman dengan baginda shallahu `alaihi wasallam, adakah kita tergolong dalam kalangan para sahabat baginda ?

Belum tentu sahabat. Ya. Belum tentu kita tergolong dalam kalangan para sahabat baginda radhiyallahu `anhum. Boleh jadi kita termasuk dalam kelompok munafiq Ubay bin Salul ataupun penentang Nabi shallahu `alaihi wasallam (Na`uzubillah).

Sahabat-sahabat, kita dilahirkan dalam keadaan ibu bapa kita telah Islam, dan kita mewarisi agama Islam ini daripada mereka. Manakala para sahabat radhiyallahu `anhum kebanyakan daripada mereka terpaksa melalui pelbagai keperitan untuk mempertahankan keislaman mereka yang bukan warisan, diseksa dengan seksaan yang amat dahsyat, dipulaukan, terpaksa dimusuhi dan memusuhi ibu bapa dan kerabat sendiri dan pelbagai mehnah dan tribulasi lagi. Namun mereka tetap thabat dalam agama Islam yang suci ini.



Allah Subhaanahu wa Ta`ala berfirman :


لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُوْلَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُوْلَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ


"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka sendiri, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya." [al-Mujadilah : 22]

Di dalam tafsir Ibnu Katsir menyebutkan, dikatakan (قيل) pada ayat “sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka” diturunkan berkenaan dengan Abu `Ubaidah yang telah membunuh ayahnya pada perang Badar. “atau anak-anak mereka sendiri” berkenaan Abu Bakar yang ingin membunuh anaknya Abdurrahman pada peristiwa yang sama, “atau saudara-saudara mereka” berkenaan Mush`ab bin `Umair yang membunuh saudaranya , `Ubaid bin `Umair pada hari yang sama. Wallahu`Alam.

Lihatlah sikap penyokong-penyokong agama Allah (Hizbullah) ini, mereka tidak akan pernah menjalinkan cinta kasih terhadap mereka yang memusuhi Allah dan rasul-Nya – meskipun orang itu adalah ayah ataupun saudara kandungnya sendiri. Lalu Allah Ta`ala menetapkan keimanan menghiasi hati mereka dan dikurniakan mereka bahagia. Kita pula tanpa perlu bermusuh dengan kedua ibu bapa, masih mampu mengamalkan agama ini dengan selesa tetapi masih mengambil sikap sambil lewa.

Mudah-mudahan dengan ayat tersebut dapat meningkatkan keimanan kita terhadap Allah Ta`ala dan Rasul-Nya, jua mengalirkan rasa cinta dan kasih kita terhadap para sahabat Radhiyallahu `anhum. Mereka telah jauh meninggalkan kita, namun kisah-kisah perjuangan mereka yang telah diatur oleh Allah Ta`ala itu menjadi pedoman buat kita untuk melaksanakan perintah Allah Ta`ala, terus tegar di dalam keimanan dan bersungguh dalam beragama.

Kita juga dianjurkan untuk berdoa kepada para Nabi `alaihimussholaatu wassalaam, para sahabat radhiyallahu `anhum dan para alim ulama rahimahumullah. Kata guru kami Dr. Ali Fawwaz, mengapa perlu kita berdoa untuk mereka, (sedangkan mereka merupakan golongan muqarrabin – dekat dengan Allah) ? Kerana dengan sebab merekalah agama Islam ini sampai kepada kita. Alhamdulillah.



ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان..


Salam Jumu`ah Mubarakah.

18 April 2014
1.43 a.m.
Bayt Ilmi, Urdun.

Sunday, March 30, 2014

IKHLAS YANG DIGUGAT


Bismillah.

Penulisan kali ini bukanlah ingin berkongsi idea. Cuma sekadar mengubat kerinduan untuk menulis meskipun pelbagai tugasan menghambat, disamping mencatat pengetahuan yang ada agar mudah menjadi rujukan di masa hadapan. Kerana ilmu itu jika tidak dicatat, maka ia bakal terkubur sia-sia.


KEMASYHURAN

Kemasyhuran atau popular kebiasaannya diperolehi melalui jawatan, kecerdikan, kecantikan dan sebagainya. Menginginkan kemasyhuran bererti menginkan perhatian orang lain terhadap diri, agar dilihat bijak, baik, berilmu, berkebajikan dan sebagainya. Para sahabat dan salafus-sholeh terdahulu begitu memelihara diri daripada sikap menginginkan kemasyhuran dalam kalangan manusia.



Imam Ibnu Katsir ketika mensyarahkan ayat ke- 18 dan 19 Surah Luqman, beliau susuli syarahnya dengan beberapa bab adab dan akhlak diantaranya adalah Bab Syuhrah (kemasyhuran). Beliau mengemukakan beberapa kisah dan kalam salafus-sholeh yang sangat berhati-hati memelihara diri agar tidak menjadi masyhur.

Kata Muhammad Bin al-`Ala` : “Barangsiapa yang mencintai Allah, Dia juga suka agar dirinya tidak dikenali manusia.”

Berkata Aban Bin `Uthman : “Sekiranya kau suka agar diselamatkan untukmu agamamu maka kurangkanlah mengingini kemasyhuran. “

Adalah Abu al-`Aliyah apabila duduk bersamanya lebih daripada 3 orang, maka dia akan berangkat dan meninggalkan mereka.

Berkata Hasan Rahimahullah : “Sesungguhnya terdapat suatu kaum yang menjadikan kesombongan di dalam hati mereka dan kelihatan tawadhu` pada pakaian mereka.”



MENYUKAT IKHLAS DIRI

Kita digalakkan berkenal-kenalan sebagaimana wasiat Imam Hasan al-Banna yang ke-9 : “Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.”

Maka apabila sudah berkenalan, insan akan dikenali oleh insan di sekelilingnya. Timbul suatu persoalan, harus bagaimana untuk mengelakkan kemasyhuran ketika kita mengenali dan telah dikenali? Adakah kita tidak perlu berkenal-kenalan?

Saya fikir, berkenal-kenalan dan kemasyhuran adalah perkara yang begitu berbeza. Kemasyhuran yang dibenci adalah ketika diri sentiasa ingin menjadi perhatian dan pujian orang lalu berusaha melakukan apa sahaja agar menjadi masyhur.

Guru saya Dr. Syuweisy al-Mahamid Hafizhahullah suatu ketika membacakan hadis Nabi shallahu `Alaihi Wasallam : "Kadang-kadang orang-orang yang tidak keruan letak rambutnya lagi pula penuh debu tubuhnya, serta selalu ditolak jika ada di pintu - tidak dihiraukan karena miskinnya, jikalau bersumpah atas nama Allah niscayalah Allah mengabulkan padanya - apa yang disumpahkannya itu." (Riwayat Imam Muslim).

Kemudian Dr. bertanya kepada kami, mengapa insan yang disebut di dalam hadis ini yang serba kusut-masai dan tidak masyhur di khalayak, Allah memakbulkan sumpahnya? Lalu jawab doktor; “Mereka yang tidak masyhur ini bersikap ikhlas dalam melakukan apa sahaja amalan, kerana mereka tidak dikenali manusia.

Dikatakan makna ‘al-Qasm’ (sumpah) di dalam hadis ini ialah ‘doa’ dan ‘ibraarihi’ (mengabulkan padanya) bererti mustajab (doa tersebut). Wallahu`alam. (Rujukan : Syarah Shahih Muslim – Imam An-Nawawi).

Sikap menginginkan kemasyhuran itu mengganggu keikhlasan insan dan menjejaskan niat dan tindakannya. Merendahlah wahai insan. Carilah waktu yang khusus untuk kita bersendiri memikirkan kehinaan diri kita di sisi Allah, kerna pemberi ganjaran terhadap amalan-amalan kita dan tempat kita mencari keredhaan adalah Allah Ta`ala, bukan manusia.


SIKAP TAWADHU` SAIDATINA `AISYAH

Saidatina `Aisyah Radhiyallahu `Anha pernah berkata ketika maut menghampiri beliau:

“لوددت أنّي كنت نسياً منسياً "

“Aku gemar sekali seandainya aku ini menjadi orang yang tidak diperhatikan lagi dilupakan”.

Hanya pada Allah tempat kembali, mencari redha dan bergantung harap.


Wallahu A`lam

1836,
30 Mac 2014,
Bayt Ilmi.

Friday, January 24, 2014

ANDAI MALAM ITU SELAMANYA


Alhamdulillah, kita sedang berada dipertengahan musim sejuk dan kita telahpun menikmati keindahan salju di Tanah Syam ini yang turun selama beberapa hari pada minggu yang lalu. Jika kita amati keadaan di musim sejuk ini, banyak sekali kelebihan dan rahmat yang Allah Ta`ala limpahkan buat kita selaku hamba-Nya yang Mukmin dan penuntut ilmu khususnya. Siangnya yang singkat dan malam yang panjang menjadikan musim ini begitu indah untuk beribadah.

Kata Ibnu Mas`ud Radhiyallahu `anhu;

مرحبا بالشتاء، تنزل فيه البركات ويطيل فيه الليل للقيام، ويقصر فيه النهار للصيام
“Selamat datang musim sejuk. Diturunkan padanya keberkatan. Dan panjangnya malam untuk qiyam, dan pendeknya siang untuk berpuasa.”

Orang-orang soleh terdahulu begitu menghargai musim sejuk, meskipun dalam kedaan yang penuh kesukaran. Sukar untuk bangkit dari pembaringan, sukar untuk menyentuh air mengambil wudhu`, dan pelbagai kesukaran lagi. Namun kesukaran yang dihadapi dalam menyempurnakan ibadah merupakan sebaik-baik amalan, jika kita menghadapinya dengan penuh mujahadah dan sabar.

MALAM SEHINGGA QIYAMAT?

Allah menyatakan di dalam ayat 71-73 Surah al-Qashash;

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِن جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الَّيْلَ سَرْمَداً إِلَى يَوْمِ الْقِيَـمَةِ مَنْ إِلَـهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِضِيَآءٍ أَفَلاَ تَسْمَعُونَ

Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?"


قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ النَّهَارَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِلَيْلٍ تَسْكُنُونَ فِيهِ ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?"


وَمِنْ رَحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.




Diantara tanda kebijaksanaan Allah `Azza Wa Jalla dan rahmat-Nya buat makhluk-Nya; diciptakan pergiliran diantara siang dan malam. Tidak dapat tidak manusia memerlukan kedua-duanya untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Dijadikan ketenangan pada waktu malam untuk manusia berehat daripada kesibukan beraktiviti pada siangnya. Panjangnya malam di musim sejuk ini kadangkala membuatkan kita merindu cahaya siang. Bayangkan jika malam berterusan tanpa digilirkan diantara siang, tanpa cahaya matahari, pastinya manusia akan berasa jemu dan segala aktiviti juga menjadi terhad. Alhamdulillah, sewajarnya kita memperbanyakkan syukur diatas kurniaan Allah Ta`ala yang Maha Bijaksana mengatur urusan alam dan makhluk-makhluk di dalamnya.



6 JAM UNTUK TIDUR

Kajian di barat mengatakan bahawa kesejukan di musim ini menyebabkan kita sering berasa mengantuk disebabkan oleh kekurangan cahaya. Simptom ini dinamakan sebagai “winter tiredness” (bacaan lanjut di http://www.nhs.uk/Livewell/tiredness-and-fatigue/Pages/winter-tiredness.aspx ). Berdasarkan situasi musim sejuk di sini, tempoh masa di waktu malam adalah kira-kira 13 jam. Panjangnya tempoh waktu tersebut bukan bermaksud tidur kita juga perlu dipanjangkan. Bagi seorang penuntut ilmu, hidupnya perlu berdisiplin dari segenap sudut kehidupan sehariannya. Bermula daripada waktu bangun tidur, beribadah, makan, belajar, sehingga tidur semula; segalanya perlu diuruskan dengan cermat tanpa disiakan untuk perkara yang tidak memberi faedah.


Dr. Solah al-Khalidi Hafizhahullah di dalam buku motivasinya “al-Khittoh al-Barraqah” menyatakan :

“Waktu tidur perlu ditentukan dan berdisiplin terhadapnya tanpa ditambah tempohnya. Mencukupi bagi insan waktu tidur sederhana yang normal iaitu selama 6 jam sehari, bersamaan 1/4 daripada tempoh 24 jam seharian. Jika seorang penuntut ilmu itu tidur 8 jam ataupun 10 jam sehari, alangkah ruginya! Mengapa disiakan umurnya dua atau tiga jam hanya untuk tidur?! Hendaklah penuntut ilmu beriltizam dengan tmpoh 6 jam untuk waktu tidurnya tanpa dilebihkan kecuali jika sakit, dan tidak juga dikurangkan kerana ianya akan memberi kesan kepada urusannya, kerana tidak boleh diambil hak manusia daripada waktu tidurnya, dia akan memberontak. Penuntut ilmu juga perlu memilih waktu yang terbaik untuk tidur, iaitu hendaklah pada waktu malam, untuk mencapai tujuan sebenar tidur (berehat), kerana tidur di waktu malam mempunyai perbezaan ketara dengan tidur di waktu siang. Sesetengah manusia suka berjaga dalam tempoh yang lama di waktu malam, tidak tidur hinggalah ke hujung malam, kemudian mengganti tidurnya di waktu siang.”



"Al-Khittah al-Barraqah Lidzi an-Nafs at-Tawwaqah - Tulisan Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi. Sangat disarankan untuk dibaca oleh penuntut ilmu, membicarakan mengenai rutin hidup seorang penuntut ilmu, sifat-sifat mereka,bacaan yang membangkitkan semangat dan motivasi.




Allah Subhanahu Wa Ta`ala memberi motivasi dan panduan berta`amul dengan malam buat kita dalam ayat ini;

ومن اليل فاسجد له وسبحه ليلا طويلا

Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakansembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam (al-Insan : 26.


Tempoh masa waktu malam di musim sejuk yang lebih panjang berbanding siang memberi kemudahan kepada kita untuk menyelesaikan pelbagai perkara yang tidak sempat dilakukan pada siangnya, disamping kesunyian di waktu tersebut menjadikan waktu malam waktu yang terbaik untuk penuntut ilmu menelaah pelajaran, bertahajjud dan bermunajat kepada Allah Ta`ala.



Benarlah kata orang-orang soleh terdahulu;

دقائق الليل غالية، فلا ترخصوها بالغفلة
“Saat-saat di waktu malam itu begitu mahal, maka jangan murahkan ia dengan perkara yang melalaikan.”

Maka janganlah dipendekkan malam-malam kita dengan panjangnya dengkuran dan lena. Bersabarlah dalam mengharungi musim sejuk ini, dan berlapang dada dalam menuntut ilmu kerana menuntut ilmu merupakan perjuangan; perjuangan mengeluarkan diri daripada gelap dan hinanya kebodohan dan perjuangan mencari keredhaan Allah Ta`ala dalam kehidupan.

Imam Ahmad Bin Faris ar-Raazi yang merupakan seorang sasterawan Arab menyatakan dalam bait syairnya:

إذا كان يؤذيك حر المصيف و يبس الخريف و برد الشتاء و يلهيك حسن زمان الربيع فأخذك للعلم قل لي، متى؟

"Sekiranya kepanasan musim panas, kering musim luruh, dan kesejukan musim sejuk menyakitimu, juga keseronokan musim bunga melalaikan kamu, Katakan padaku, bilakah waktumu untuk ilmu?"

Maka bersungguh-sungguhlah wahai penuntut ilmu walau musim apapun yang menyapa dirimu. Jadikan taqwa sebagai bekalan dalam perjalanan, al-Quran dan sunnah Nabi Shallallahu `alaihi wasallam sebagai motivasi dan panduan. Mudah-mudahan Allah Ta`ala sentiasa mengatur dan memperbaiki diri kita dan setiap urusan kita, Insya-Allah.


Wallahu `alam.


Nur Adilah Ibrahim,
Subuh Jumu`ah Mubarakah,
27.12.2013, Urdun.