Friday, June 20, 2014

Ulasan Buku : 40 Teknik Rasulullah Mendidik.

"Sesungguhnya Allah Ta`ala tidak mengutusakan daku untuk menyukarkan dan tidak pula sebagai mencari kesilapan dan keaiban orang lain, sebaliknya Allah Ta`ala mengutuskan daku sebagai guru yang memudahkan"
(Riwayat Imam Muslim)


Bismillahi walhamduliLlah..

Untuk penulisan kali ini, saya cuba meluangkan masa bagi memenuhi permintaan beberapa orang sahabat supaya membuat catatan ringkas mengenai pembentangan bedah buku ”40 Teknik Rasulullah Mengajar”, yang telah saya sampaikan beberapa bulan sudah bersempena ‘Road To’ Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Jordan(PERTAMA) Kali Ke-VIII yg bertemakan pendidikan.

Di kesempatan yang terbatas ini, suka untuk saya berpesan terutama kepada diri saya sendiri, bahawa kita perlu sedar kepentingan menulis dalam mengekalkan sesuatu ilmu. Melalui penulisan juga dapat mewariskan sejarah daripada suatu generasi kepada generasi seterusnya dan banyak lagi kepentingan mencatat sesuatu ilmu. Penulisan dan menulis adalah diantara rahmat Allah yang besar buat hamba-hambaNya. Firman Allah Ta`ala di dalam surah al-`Alaq ayat 3-5 ;

"Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

Saya cuba untuk meringkaskan tulisan ini namun ia tetap memakan ruang yang banyak. Beberapa buah hadis yang masyhur tidak saya nyatakan namun saya amat berharap agar para pembaca dapat menyemak kembali hadis yang saya maksudkan supaya jelas apa yang ingin disampaikan. Mudah-mudahan Allah kurniakan kefahaman.


MENGENAI PENULIS

Al`Allamah Syeikh al-Muhaddith al-Faqih Abdul Fattah Abu Ghuddah al-Halabi as-Suri dilahirkan di Syria pada tahun 1917 dan wafat pada tahun 1997 di Kota Madinah. Beliau merupakan seorang `alim dan pakar dalam bidang Hadis dan Fiqh.
Diantara penulisan beliau yang masyhur ialah “Ulama` al-`Uzzab” (Ulama yang Bujang), “Qeemah az-Zaman `inda al-`Ulama`” (Nilai Masa disisi Ulama) dan banyak lagi. Selain menulis, beliau juga turut mentahqiq beberapa buah kitab.
Rahimahullah.


AR-RASUL AL-MU`ALLIM

Tajuk sebenar bagi buku ini ialah ar-Rasul al-Mu`allim wa Asaaliibuhu fi at-Ta`lim yang bermaksud ‘Rasul Pendidik dan Teknik-teknik Baginda dalam Mendidik’. Penulis menghimpunkan 40 teknik Rasulullah Shallahu `Alaihi Wasallam dalam mendidik yang penulis dapati secara tidak langsung melalui penelitian beliau terhadap hadis-hadis Nabi shallahu `alaihi wasallam. Edisi bahasa Arab boleh didapati di laman sesawang dalam bentuk e-buku (PDF). Pun begitu, buku ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan telah diulang cetak beberapa kali. Diatas beberapa faktor kekangan, saya hanya menyentuh 7 teknik terpenting sahaja (pada pandangan saya) ketika pembentangan tersebut dan untuk penulisan ini.


Rasulullah merupakan Murabbi Agung dan pendidik terulung buat seluruh umat sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam al-Quran surah al-Jumu`ah ayat ke – 2:

"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Sejarah telah menyaksikan pendidikan yang dibawa oleh Rasulullah berjaya mengubah sikap masyarakat Arab yang sebelumnya kasar menjadi lembut dan beradab, mengubah mereka daripada bermusuhan kepada saling berkasih-sayang. Melalui pendidikan tersebut jugalah agama Islam yang suci ini dapat kita anuti. Alhamdulillah.

Teknik 1 : Menjadikan dirinya sendiri dan budi pekertinya sebagai model pendidikan

Kaedah ini merupakan kaedah utama yang digunakan oleh Baginda shallahu `alaihi wasallam agar ia menjadi ikutan yang baik kepada para pelajar. Baginda tidak mengarahkan sesuatu perkara melainkan setelah Baginda melakukannya terlebih dahulu kemudian barulah diikuti oleh para sahabat berdasarkan apa yang mereka lihat. Ia merupakan cara terbaik agar mudah difahami dan lebih mendorong untuk diikuti berbanding pengajaran berbentuk teori dan penerangan lisan semata-mata.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud menceritakan :

Sesungguhnya seorang lelaki menemui Nabi lalu berkata; “Wahai Rasulullah bagaimanakah cara bersuci (berwudhu’)?
Kemudian Rasulullah shollallaahu ‘alaihi wasallam meminta bejana berisi air kemudian membasuh kedua telapak tangannya 3 kali, kemudian membasuh wajahnya 3 kali, kemudian membasuh kedua tangan hingga ke siku 3 kali, kemudian mengusap kepalanya, kemudian memasukkan dua jari telunjuk pada kedua telinga dan mengusap bagian luar atas telinga dengan ibu jarinya dan bahagian dalam telinga dengan jari telunjuknya, kemudian mencuci kedua-dua kaki baginda sebanyak tiga kali. Selanjutnya beliau bersabda: “Demikianlah cara berwudhu’, maka barangsiapa yang menambahnya atau mengurangkannya maka ia telah melakukan kesilapan dan kezaliman.”


Teknik 2 : Berdialog –soal jawab- dan pertimbangan akal fikiran

(Teknik ini saya gabungkan diantara teknik ke-5 dan ke-6 yang telah disusun oleh penulis memandangkan keduanya mempunyai perkaitan).

Berdialog dan bersoal jawab dapat menarik perhatian pendengar dan dapat mendorong mereka untuk menjawab persoalan tersebut. Jika para sahabat tidak dapat menjawab persoalan yang diutarakan oleh Nab shallahu `alaihi wasallami, maka jawapan yang diberikan oleh Nabi lebih mudah untuk difahami dan memberi kesan dalam jiwa pendengar.
Sebagai contoh, sebuah hadis masyhur riwayat Imam Ahmad yang panjang menceritakan mengenai seorang lelaki yang meminta izin daripada Nabi shallahu `alaihi wasallam untuk berzina. Di dalam hadis tersebut menunjukkan bagaimana Rasulullah mendidik dengan cara memahami psikologi pemuda tersebut tanpa membacakan ayat-ayat larangan dan ancaman kepada penzina, Nabi berdialog secara lembut agar pemuda tersebut dapat membuat pertimbangan akal sebaiknya dan tidak memberontak.

Penting bagi seorang pendidik untuk memahami psikologi mereka yang ingin dididik sama ada pendidikan tersebut disampaikan melalui lisan mahupun tulisan. Pendidik tidak sekadar perlu memikirkan apa yang ingin disampaikan tetapi perlu meraikan emosi dan psikologi mereka yang dididik agar nasihat yang disampaikan membekas dan tidak membuatkan mereka menjauhkan diri.

Teknik 3 : Menggunakan kiasan dan perumpamaan

Sesuatu perkara yang sukar digambarkan oleh akal perlu disampaikan secara kreatif agar ianya dekat dengan akal dan muncul dalam imaginasi lalu mampu diterjemah secara berkesan oleh pendengar. Uslub kreatif yang dimaksudkan di sini ialah melalui kiasan dan perumpamaan. Kiasan dan perumpamaan banyak digunakan di dalam al-Quran dan hadis untuk menggambarkan sesuatu perkara dalam bentuk yang mudah difahami.
Perumpamaan dan kiasan digunakan apabila sesuatu perkara yang ingin disampaikan agak samar dan hukumnya sukar untuk diketahui. Melalui kiasan dan perumpamaan, kesamaran tersebut dapat disingkap. Justeru, kiasan dan perumpamaan bertindak sebagai suatu kaedah dalam memahamkan hukum syara` dan maqashidnya (matlamatnya).

Daripada Abu Hurairah ra katanya:
Rasulullah saw bersabda:"Apa pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu dan dia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali.Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya? Para sahabat menjawab : Sudah pasti tidak terdapat sedikit pun kotoran padanya.Lalu baginda bersabda : “Begitulah perumpamaanya dengan solat lima waktu.Allah menghapuskan segala kesalahan mereka dengannya."
(Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim dan selainnya)

Teknik 4 : Menguji orang yang telah mengetahui sesuatu perkara dan memujinya jika jawapannya tepat.

Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Abu Al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, paling agung?".
Aku (Ubay) berkata: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui".
Sabda baginda: "Wahai Abu Al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, paling agung?".
Aku berkata: "Allahu Laa Ilaaha Illaa Huwal Hayyul Qayyum".
Lalu baginda menepuk dadaku, dan bersabda: "Semoga dipermudahkan ilmu bagimu, Abul Munzir".
(Hadis riwayat Imam Muslim).

Teknik 5 : Memegang tangan atau bahu pendengar

Seorang ahli antropologi barat, Helen Fisher dalam bukunya ‘Anatomy Of Love’ menjelaskan pentingnya peranan sentuhan dalam memelihara kedekatan emosional diantara dua individu. Sentuhan menjadi alternatif untuk menyatakan simpati, upaya menularkan semangat positif dan ajakan melakukan sesuatu.

‘Abdullah bin ‘Umar r.a berkata :“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Jika anda belum pernah mencuba teknik ini, mulakanlah ia hari ini. Dengan sentuhan, pendengar akan memberi perhatian yang lebih dan merasa dekat dengan anda.

Teknik 6 : Menyebutkan kisah-kisah dan berita umat terdahulu.

Sudah menjadi tabiat manusia tidak gemar jika sentiasa diberi arahan secara langsung seperti ‘jangan kamu berbuat begini’, ‘bersabarlah’, ‘taatlah’ dan sebagainya. Maka melalui kisah-kisah dan penceritaan, insan dapat mengambil motivasi dan iktibar tentang perkara yang mesti dilakukan, yang perlu ditinggalkan dan sebagainya. Satu pertiga ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran merupakan sejarah.

Terdapat sebuah hadis panjang yang masyhur riwayat Imam Bukhari dan Muslim mengenai kisah Juraij yang difitnah hasil doa ibunya yang terguris hati dengan sikap Juraij yang tidak mengendahkan panggilannya kerana ingin terus melakukan solat.
Hadis tersebut memberi iktibar kepada setiap anak supaya menyahut panggilan ibu walaupun sedang melakukan ibadah.

Teknik 7 : Marah dan bersikap tegas ketika perlu

Rasulullah shallahu `alaaihi wasallam menjadi marah apabila terdapat sahabat yang bertanya dan berbicara mengenai perkara yang tidak sepatutnya diperbincangkan. Ada ketikanya nabi akan mengalihkan perhatian penyoal kepada perkara yang lebih penting untuk difikirkan.

Daripada `Amru bin Syu`aib daripada ayahnya; Rasulullah keluar menemui para sahabat Baginda yang sedang bertengkar tentang masalah al-Qadar (ketentuan Allah keatas hamba sejak azali) lalu wajah baginda menjadi sangat merah seperti kemerahan biji delima lantaran terlalu murka.
Lantas baginda bersabda; “Apakah untuk ini kalian disuruh? Atau apakah kerana perkara ini kalian diciptakan? Kalian mencampuradukkan sebahagian al-Quran kepada sebahagian yang lain, justeru kerana perkara inilah umat-umat terdahulu sebelum kalian menjadi binasa.”
(Riwayat Imam Ibnu Majah)

Teknik 8 : Bersabar dan meraikan persoalan

Teknik ini tidak terdapat di dalam buku ini tetapi ianya hasil rumusan perbualan saya bersama ayah saya ketika mendengar sebuah hadis yang dibacakan ketika kami sedang mendengar radio IKIMfm. Hadis tersebut ialah hadis “ibumu, ibumu, ibumu, kemudian ayahmu” yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.


Namun suka saya kemukakan sebuah hadis menarik yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim;
Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu-, dia berkata :
Saya bertanya kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam: “Amal perbuatan apa yang paling dicintai Allah?”
Beliau menjawab : “Shalat pada waktunya”.
Saya bertanya : “Kemudian apa?”
Beliau menjawab : “Berbakti kepada kedua orang tua”.
Saya bertanya : “Kemudian apa?”
Beliau menjawab : “Berjihad di jalan Allah”.
Ibnu Mas’ud radhiallahu’anhu berkata : “Rasulullah menyampaikan ketiganya kepada saya, jika saya menambah pertanyaan tentangnya, niscaya beliau menjawabnya”.


Jika dilihat pada hujung hadis, jelas kelihatan Baginda shallahu `alaihi wasallam begitu bersabar menyantuni persoalan yang dikemukakan oleh sahabat tersebut dan tidak melenting walaupun ditanyakan persoalan yang lebih kurang sama. Begitu juga pada hadis “ibumu, ibumu, ibumu kemudian ayahmu” yang masyhur dan tidak perlu untuk disebutkan di ruangan yang terbatas ini.

PENUTUP

Kata penulis di hujung buku beliau; “Inilah beberapa contoh daripada uslub mengajar yang digunakan oleh Rasulullah shallahu `alaihi wasallam dan saya menyebutkannya di sini hanyalah sebagai suatu penerangan dan penjelasan semata-mata, bukannya sebagai kajian dan huraian yang lengkap dan menyeluruh.
Tidak syak lagi seseungguhnya orang yang mengkaji hadis dan sirah baginda yang agung, ia akan menemui beberapa lagi uslub dan teknik yang lain (selain 40 uslub yang disebutkan).”


Selain daripada buku ini, masih banyak lagi buku-buku dan kajian mengenai kaedah nabi mendidik anak-anak, kaedah nabi berinteraksi dengan masyarakat, teknik mendorong pelajar gaya nabi dan sebagainya. Maka seharusnya bagi umat ini melaksanakan tugas mendidik berpandukan gaya dan teknik yang diamalkan oleh Rasulullah shallahu `alaihi wasallam supaya pendidikan tersebut memberi kesan positif dalam pembentukan masyarakat yang berakhlak. Namun, untuk mengetahui teknik dan method yang diamalkan oleh Nabi shallallahu `alahi wasallam perlulah sentiasa melazimi membaca hadis-hadis Baginda shallahu `alaihi wasallam.

Mudah-mudahan dengan kelaziman tersebut dapat menghidupkan hati kita agar sentiasa mencintai Nabi shallahu `alaihi wasallam dan meraih syafaat baginda di akhirat nanti.
Wallahu `Alam.

وصلى الله على سيدنا وحبيبنا ومربينا سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين


Khaalahzu
20062014
Bayt Ilmi, Jordan.

Thursday, April 17, 2014

Berharap Menjadi Sahabat Nabi.

Diantara pendorong untuk memugar rasa cinta dan rindu kepada Nabi Muhammad shallahu `alaihi wasallam adalah dengan melazimkan diri untuk menghayati hadis-hadis dan sirah baginda shallahu `alaihi wasallam. Melazimi hadis Nabi shallahu `alaihi wasallam perlu dijadikan salah satu daripada aktiviti seharian, tidak sekadar berHanaanaa.

Tatkala meneliti hadis-hadis nabi shallahu `alaihi wasallam, kita akan dapati sikap ramah dan gurauan nabi shallahu `alaihi wasallam terhadap si kecil Abu `Umayr, bagaimana Nabi shallahu `alaihi wasallam menyantuni seorang pemuda yang ingin berzina dengan cara yang penuh hikmah, juga di dalam beberapa hadis menyebutkan bahawa Nabi shallahu `alaihi wasallam seringkali menyedari ketiadaan mereka yang senantiasa berada berdekatan dengan baginda shallahu `alaihi wasallam. Baginda melayani segenap lapisan masyarakat.

Di dalam sebuah hadis baginda shallahu `alaihi wasallam menyebut;


أن امرأة سوداء كانت تقم المسجد، فسأل عنها النبي صلى الله عليه وسلم فقالوا: ماتت، فقال: أفلا كنتم آذنتموني؟ قال: دلوني على قبرها، فدلوه فصلى عليها.


"Suatu saat Rasulullah shallahu `alaihi wasallam menyedari kehilangan seorang wanita hitam yang biasa baginda lihat menyapu di masjid. Lalu baginda shallahu `alaihi wasallam bertanya kepada para sahabat. Mereka berkata, “Dia telah meninggal dunia.” Seakan-akan mereka meremehkannya. Rasulullah shallahu `alaihi wasallam berkata: “Mengapa kalian tidak memberitahu aku.” Lalu Rasulullah shallahu `alaihi wasallam minta ditunjukkan kuburnya, kemudian beliau shalat (jenazah) di atasnya." (Muttafaq alaih).

Menghayati kisah-kisah yang berkait dengan akhlak dan sikap Nabi shallahu `alaihi wasallam terhadap insan di sekelilingnya terkadang melahirkan rasa sebak, meruntun rindu yang dalam terhadap sosok yang bernama Muhammad shallahu `alaihi wasallam. Seringkali kita berharap, agar kita dapat hidup sezaman dengan baginda shallahu `alaihi wasallam, merasai damainya bicara baginda, ketenangan raut wajah dan garis senyumnya, ketegasan dan kesungguhan baginda shallahu `alaihi wasallam dalam beragama – benar-benar menggamit rindu!

Seringkali terfikir, beruntungnya seandainya kita dapat hidup sezaman dengan Nabi shallahu `alaihi wasallam meskipun sekadar menjadi seorang tukang cuci masjid! Barangkali juga kita tergolong dalam kalangan sahabat baginda shallahu `alaihi wasallam. Allah, tinggi benar cita-cita itu.

Dengan cita-cita tersebut yang terlahir daripada kerinduan yang dalam terhadap Nabi shallahu `alaihi wasallam, mari kita fikirkan semula; seandainya kita diberi peluang untuk hidup sezaman dengan baginda shallahu `alaihi wasallam, adakah kita tergolong dalam kalangan para sahabat baginda ?

Belum tentu sahabat. Ya. Belum tentu kita tergolong dalam kalangan para sahabat baginda radhiyallahu `anhum. Boleh jadi kita termasuk dalam kelompok munafiq Ubay bin Salul ataupun penentang Nabi shallahu `alaihi wasallam (Na`uzubillah).

Sahabat-sahabat, kita dilahirkan dalam keadaan ibu bapa kita telah Islam, dan kita mewarisi agama Islam ini daripada mereka. Manakala para sahabat radhiyallahu `anhum kebanyakan daripada mereka terpaksa melalui pelbagai keperitan untuk mempertahankan keislaman mereka yang bukan warisan, diseksa dengan seksaan yang amat dahsyat, dipulaukan, terpaksa dimusuhi dan memusuhi ibu bapa dan kerabat sendiri dan pelbagai mehnah dan tribulasi lagi. Namun mereka tetap thabat dalam agama Islam yang suci ini.



Allah Subhaanahu wa Ta`ala berfirman :


لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُوْلَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُوْلَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ


"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka sendiri, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya." [al-Mujadilah : 22]

Di dalam tafsir Ibnu Katsir menyebutkan, dikatakan (قيل) pada ayat “sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka” diturunkan berkenaan dengan Abu `Ubaidah yang telah membunuh ayahnya pada perang Badar. “atau anak-anak mereka sendiri” berkenaan Abu Bakar yang ingin membunuh anaknya Abdurrahman pada peristiwa yang sama, “atau saudara-saudara mereka” berkenaan Mush`ab bin `Umair yang membunuh saudaranya , `Ubaid bin `Umair pada hari yang sama. Wallahu`Alam.

Lihatlah sikap penyokong-penyokong agama Allah (Hizbullah) ini, mereka tidak akan pernah menjalinkan cinta kasih terhadap mereka yang memusuhi Allah dan rasul-Nya – meskipun orang itu adalah ayah ataupun saudara kandungnya sendiri. Lalu Allah Ta`ala menetapkan keimanan menghiasi hati mereka dan dikurniakan mereka bahagia. Kita pula tanpa perlu bermusuh dengan kedua ibu bapa, masih mampu mengamalkan agama ini dengan selesa tetapi masih mengambil sikap sambil lewa.

Mudah-mudahan dengan ayat tersebut dapat meningkatkan keimanan kita terhadap Allah Ta`ala dan Rasul-Nya, jua mengalirkan rasa cinta dan kasih kita terhadap para sahabat Radhiyallahu `anhum. Mereka telah jauh meninggalkan kita, namun kisah-kisah perjuangan mereka yang telah diatur oleh Allah Ta`ala itu menjadi pedoman buat kita untuk melaksanakan perintah Allah Ta`ala, terus tegar di dalam keimanan dan bersungguh dalam beragama.

Kita juga dianjurkan untuk berdoa kepada para Nabi `alaihimussholaatu wassalaam, para sahabat radhiyallahu `anhum dan para alim ulama rahimahumullah. Kata guru kami Dr. Ali Fawwaz, mengapa perlu kita berdoa untuk mereka, (sedangkan mereka merupakan golongan muqarrabin – dekat dengan Allah) ? Kerana dengan sebab merekalah agama Islam ini sampai kepada kita. Alhamdulillah.



ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان..


Salam Jumu`ah Mubarakah.

18 April 2014
1.43 a.m.
Bayt Ilmi, Urdun.

Sunday, March 30, 2014

IKHLAS YANG DIGUGAT


Bismillah.

Penulisan kali ini bukanlah ingin berkongsi idea. Cuma sekadar mengubat kerinduan untuk menulis meskipun pelbagai tugasan menghambat, disamping mencatat pengetahuan yang ada agar mudah menjadi rujukan di masa hadapan. Kerana ilmu itu jika tidak dicatat, maka ia bakal terkubur sia-sia.


KEMASYHURAN

Kemasyhuran atau popular kebiasaannya diperolehi melalui jawatan, kecerdikan, kecantikan dan sebagainya. Menginginkan kemasyhuran bererti menginkan perhatian orang lain terhadap diri, agar dilihat bijak, baik, berilmu, berkebajikan dan sebagainya. Para sahabat dan salafus-sholeh terdahulu begitu memelihara diri daripada sikap menginginkan kemasyhuran dalam kalangan manusia.



Imam Ibnu Katsir ketika mensyarahkan ayat ke- 18 dan 19 Surah Luqman, beliau susuli syarahnya dengan beberapa bab adab dan akhlak diantaranya adalah Bab Syuhrah (kemasyhuran). Beliau mengemukakan beberapa kisah dan kalam salafus-sholeh yang sangat berhati-hati memelihara diri agar tidak menjadi masyhur.

Kata Muhammad Bin al-`Ala` : “Barangsiapa yang mencintai Allah, Dia juga suka agar dirinya tidak dikenali manusia.”

Berkata Aban Bin `Uthman : “Sekiranya kau suka agar diselamatkan untukmu agamamu maka kurangkanlah mengingini kemasyhuran. “

Adalah Abu al-`Aliyah apabila duduk bersamanya lebih daripada 3 orang, maka dia akan berangkat dan meninggalkan mereka.

Berkata Hasan Rahimahullah : “Sesungguhnya terdapat suatu kaum yang menjadikan kesombongan di dalam hati mereka dan kelihatan tawadhu` pada pakaian mereka.”



MENYUKAT IKHLAS DIRI

Kita digalakkan berkenal-kenalan sebagaimana wasiat Imam Hasan al-Banna yang ke-9 : “Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.”

Maka apabila sudah berkenalan, insan akan dikenali oleh insan di sekelilingnya. Timbul suatu persoalan, harus bagaimana untuk mengelakkan kemasyhuran ketika kita mengenali dan telah dikenali? Adakah kita tidak perlu berkenal-kenalan?

Saya fikir, berkenal-kenalan dan kemasyhuran adalah perkara yang begitu berbeza. Kemasyhuran yang dibenci adalah ketika diri sentiasa ingin menjadi perhatian dan pujian orang lalu berusaha melakukan apa sahaja agar menjadi masyhur.

Guru saya Dr. Syuweisy al-Mahamid Hafizhahullah suatu ketika membacakan hadis Nabi shallahu `Alaihi Wasallam : "Kadang-kadang orang-orang yang tidak keruan letak rambutnya lagi pula penuh debu tubuhnya, serta selalu ditolak jika ada di pintu - tidak dihiraukan karena miskinnya, jikalau bersumpah atas nama Allah niscayalah Allah mengabulkan padanya - apa yang disumpahkannya itu." (Riwayat Imam Muslim).

Kemudian Dr. bertanya kepada kami, mengapa insan yang disebut di dalam hadis ini yang serba kusut-masai dan tidak masyhur di khalayak, Allah memakbulkan sumpahnya? Lalu jawab doktor; “Mereka yang tidak masyhur ini bersikap ikhlas dalam melakukan apa sahaja amalan, kerana mereka tidak dikenali manusia.

Dikatakan makna ‘al-Qasm’ (sumpah) di dalam hadis ini ialah ‘doa’ dan ‘ibraarihi’ (mengabulkan padanya) bererti mustajab (doa tersebut). Wallahu`alam. (Rujukan : Syarah Shahih Muslim – Imam An-Nawawi).

Sikap menginginkan kemasyhuran itu mengganggu keikhlasan insan dan menjejaskan niat dan tindakannya. Merendahlah wahai insan. Carilah waktu yang khusus untuk kita bersendiri memikirkan kehinaan diri kita di sisi Allah, kerna pemberi ganjaran terhadap amalan-amalan kita dan tempat kita mencari keredhaan adalah Allah Ta`ala, bukan manusia.


SIKAP TAWADHU` SAIDATINA `AISYAH

Saidatina `Aisyah Radhiyallahu `Anha pernah berkata ketika maut menghampiri beliau:

“لوددت أنّي كنت نسياً منسياً "

“Aku gemar sekali seandainya aku ini menjadi orang yang tidak diperhatikan lagi dilupakan”.

Hanya pada Allah tempat kembali, mencari redha dan bergantung harap.


Wallahu A`lam

1836,
30 Mac 2014,
Bayt Ilmi.

Friday, January 24, 2014

ANDAI MALAM ITU SELAMANYA


Alhamdulillah, kita sedang berada dipertengahan musim sejuk dan kita telahpun menikmati keindahan salju di Tanah Syam ini yang turun selama beberapa hari pada minggu yang lalu. Jika kita amati keadaan di musim sejuk ini, banyak sekali kelebihan dan rahmat yang Allah Ta`ala limpahkan buat kita selaku hamba-Nya yang Mukmin dan penuntut ilmu khususnya. Siangnya yang singkat dan malam yang panjang menjadikan musim ini begitu indah untuk beribadah.

Kata Ibnu Mas`ud Radhiyallahu `anhu;

مرحبا بالشتاء، تنزل فيه البركات ويطيل فيه الليل للقيام، ويقصر فيه النهار للصيام
“Selamat datang musim sejuk. Diturunkan padanya keberkatan. Dan panjangnya malam untuk qiyam, dan pendeknya siang untuk berpuasa.”

Orang-orang soleh terdahulu begitu menghargai musim sejuk, meskipun dalam kedaan yang penuh kesukaran. Sukar untuk bangkit dari pembaringan, sukar untuk menyentuh air mengambil wudhu`, dan pelbagai kesukaran lagi. Namun kesukaran yang dihadapi dalam menyempurnakan ibadah merupakan sebaik-baik amalan, jika kita menghadapinya dengan penuh mujahadah dan sabar.

MALAM SEHINGGA QIYAMAT?

Allah menyatakan di dalam ayat 71-73 Surah al-Qashash;

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِن جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الَّيْلَ سَرْمَداً إِلَى يَوْمِ الْقِيَـمَةِ مَنْ إِلَـهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِضِيَآءٍ أَفَلاَ تَسْمَعُونَ

Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?"


قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ النَّهَارَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِلَيْلٍ تَسْكُنُونَ فِيهِ ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?"


وَمِنْ رَحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.




Diantara tanda kebijaksanaan Allah `Azza Wa Jalla dan rahmat-Nya buat makhluk-Nya; diciptakan pergiliran diantara siang dan malam. Tidak dapat tidak manusia memerlukan kedua-duanya untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Dijadikan ketenangan pada waktu malam untuk manusia berehat daripada kesibukan beraktiviti pada siangnya. Panjangnya malam di musim sejuk ini kadangkala membuatkan kita merindu cahaya siang. Bayangkan jika malam berterusan tanpa digilirkan diantara siang, tanpa cahaya matahari, pastinya manusia akan berasa jemu dan segala aktiviti juga menjadi terhad. Alhamdulillah, sewajarnya kita memperbanyakkan syukur diatas kurniaan Allah Ta`ala yang Maha Bijaksana mengatur urusan alam dan makhluk-makhluk di dalamnya.



6 JAM UNTUK TIDUR

Kajian di barat mengatakan bahawa kesejukan di musim ini menyebabkan kita sering berasa mengantuk disebabkan oleh kekurangan cahaya. Simptom ini dinamakan sebagai “winter tiredness” (bacaan lanjut di http://www.nhs.uk/Livewell/tiredness-and-fatigue/Pages/winter-tiredness.aspx ). Berdasarkan situasi musim sejuk di sini, tempoh masa di waktu malam adalah kira-kira 13 jam. Panjangnya tempoh waktu tersebut bukan bermaksud tidur kita juga perlu dipanjangkan. Bagi seorang penuntut ilmu, hidupnya perlu berdisiplin dari segenap sudut kehidupan sehariannya. Bermula daripada waktu bangun tidur, beribadah, makan, belajar, sehingga tidur semula; segalanya perlu diuruskan dengan cermat tanpa disiakan untuk perkara yang tidak memberi faedah.


Dr. Solah al-Khalidi Hafizhahullah di dalam buku motivasinya “al-Khittoh al-Barraqah” menyatakan :

“Waktu tidur perlu ditentukan dan berdisiplin terhadapnya tanpa ditambah tempohnya. Mencukupi bagi insan waktu tidur sederhana yang normal iaitu selama 6 jam sehari, bersamaan 1/4 daripada tempoh 24 jam seharian. Jika seorang penuntut ilmu itu tidur 8 jam ataupun 10 jam sehari, alangkah ruginya! Mengapa disiakan umurnya dua atau tiga jam hanya untuk tidur?! Hendaklah penuntut ilmu beriltizam dengan tmpoh 6 jam untuk waktu tidurnya tanpa dilebihkan kecuali jika sakit, dan tidak juga dikurangkan kerana ianya akan memberi kesan kepada urusannya, kerana tidak boleh diambil hak manusia daripada waktu tidurnya, dia akan memberontak. Penuntut ilmu juga perlu memilih waktu yang terbaik untuk tidur, iaitu hendaklah pada waktu malam, untuk mencapai tujuan sebenar tidur (berehat), kerana tidur di waktu malam mempunyai perbezaan ketara dengan tidur di waktu siang. Sesetengah manusia suka berjaga dalam tempoh yang lama di waktu malam, tidak tidur hinggalah ke hujung malam, kemudian mengganti tidurnya di waktu siang.”



"Al-Khittah al-Barraqah Lidzi an-Nafs at-Tawwaqah - Tulisan Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi. Sangat disarankan untuk dibaca oleh penuntut ilmu, membicarakan mengenai rutin hidup seorang penuntut ilmu, sifat-sifat mereka,bacaan yang membangkitkan semangat dan motivasi.




Allah Subhanahu Wa Ta`ala memberi motivasi dan panduan berta`amul dengan malam buat kita dalam ayat ini;

ومن اليل فاسجد له وسبحه ليلا طويلا

Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakansembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam (al-Insan : 26.


Tempoh masa waktu malam di musim sejuk yang lebih panjang berbanding siang memberi kemudahan kepada kita untuk menyelesaikan pelbagai perkara yang tidak sempat dilakukan pada siangnya, disamping kesunyian di waktu tersebut menjadikan waktu malam waktu yang terbaik untuk penuntut ilmu menelaah pelajaran, bertahajjud dan bermunajat kepada Allah Ta`ala.



Benarlah kata orang-orang soleh terdahulu;

دقائق الليل غالية، فلا ترخصوها بالغفلة
“Saat-saat di waktu malam itu begitu mahal, maka jangan murahkan ia dengan perkara yang melalaikan.”

Maka janganlah dipendekkan malam-malam kita dengan panjangnya dengkuran dan lena. Bersabarlah dalam mengharungi musim sejuk ini, dan berlapang dada dalam menuntut ilmu kerana menuntut ilmu merupakan perjuangan; perjuangan mengeluarkan diri daripada gelap dan hinanya kebodohan dan perjuangan mencari keredhaan Allah Ta`ala dalam kehidupan.

Imam Ahmad Bin Faris ar-Raazi yang merupakan seorang sasterawan Arab menyatakan dalam bait syairnya:

إذا كان يؤذيك حر المصيف و يبس الخريف و برد الشتاء و يلهيك حسن زمان الربيع فأخذك للعلم قل لي، متى؟

"Sekiranya kepanasan musim panas, kering musim luruh, dan kesejukan musim sejuk menyakitimu, juga keseronokan musim bunga melalaikan kamu, Katakan padaku, bilakah waktumu untuk ilmu?"

Maka bersungguh-sungguhlah wahai penuntut ilmu walau musim apapun yang menyapa dirimu. Jadikan taqwa sebagai bekalan dalam perjalanan, al-Quran dan sunnah Nabi Shallallahu `alaihi wasallam sebagai motivasi dan panduan. Mudah-mudahan Allah Ta`ala sentiasa mengatur dan memperbaiki diri kita dan setiap urusan kita, Insya-Allah.


Wallahu `alam.


Nur Adilah Ibrahim,
Subuh Jumu`ah Mubarakah,
27.12.2013, Urdun.

Thursday, November 28, 2013

Apa Yang Kamu Amalkan

Bismillah..

Coretan sekadar ingin berkongsi kegembiraan dan keserabutan kepala akibat lama tak menulis.

Alhamdulillah pagi tadi selamat mengkhatamkan kitab "Riyadhusshaalihin" susunan Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta'ala. Saya mulakan pembacaan kitab ini pada bulan September tahun lepas dan sengaja saya tidak mensegerakan pembacaan agar dapat menghayati sedikit demi sedikit intisari hadis-hadis yang terkandung di dalam kitab tersebut.

Di dalam kitab Riyadhussalihin ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah menyusun hadis-hadis mengenai akhlak dan adab yang perlu kita amalkan selaku Muslim. Ada doa, cara makan, tidur, galakan beramal, ancaman dan sebagainya.



IMAM AN-NAWAWI RAHIMAHULLAH TA`ALA


Terlanjur bercerita mengenai kitab ini, saya nukilkan juga secebis kisah hidup imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta`ala.
Di penghujung kitab Riyadhusshalihin, beliau mencatatkan tarikh beliau menyelesaikan susunan kitab tersebut iaitu pada 14 Ramadhan tahun 670 Hijri di Dimasyq - 6 tahun sebelum beliau meninggal dunia. Imam an-Nawawi rahimahullah lahir pada tahun 631 Hijri dan meninggal pada tahun 676 hijri ketika usianya mencecah 45 tahun. Tidaklah terlalu tua. Tetapi dikatakan karya penulisannya kira-kira 40 buah. Selain Riyadhusshalihin, diantara karyanya yang masyhur ialah Syarah Shahih Muslim, al-Adzkar,Minhaj at-Tholibin dan banyak lagi.

Patah Tumbuh, hilang berganti. tetapi kehilangan ulama` tiada penggantinya. Karya-karya yang beliau tinggalkan menyebabkan beliau terus 'hidup' meskipun jasadnya tiada. Kita pula 'mati' meskipun jasad masih bernyawa.

Sejarah juga mencatatkan bahawa Imam an-Nawawi adalah ulama yang membujang sehingga ke penghujung usianya dek kerana keasyikannya dengan ilmu. Subhanallah..
Mudah-mudahan kisah ini menjadi motivasi buat kita untuk terus giat menuntut ilmu.






Sukar Menerima Nasihat

Andaikata di sekeliling kita ini tiada lagi manusia yang kita yakini untuk mendengarkan tutur bicaranya, cubalah mentadabbur al-Quran dan dipadukan pula dengan hadis Nabi shallahu `alaihi wasallam. Dr. Zahazan pernah berpesan agar kita jangan tidur sebelum membaca hadis Nabi shallahu `alaihi wasallam walaupun sepotong.

Pernah sesekali atas izin dan perancangan Allah Ta`ala, hadis-hadis yang saya baca pada hari tersebut begitu sesuai sekali dengan situasi yang sedang saya alami pada saat itu, terkesan sehingga terasa sebak. ٍBenarlah, Allah itu Maha Pengasih.



Apa yang Kita Amalkan

Hakikatnya, banyak manapun buku yang kita baca, tidak memberi erti apa-apa sekiranya tidak diamalkan. Tersebut di dalam sebuah athar :

من عمل بما يعلم ورثه الله علم ما لم يعلم
"Barangsiapa yang mengamalkan apa yang dia ketahui, Allah akan mengurniakannya ilmu yang dia tidak ketahui."




اللهم لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم, اللهم علمنا ما ينفعنا وانفعنا بما علمتنا وزدنا علما

1705
Bayt `Ilmi, Urdun.






Monday, March 25, 2013

MENYAHUT SERUAN IQRA`

PERINGATAN: Jika sejak awal lagi anda sudah mengaku bahawa ‘saya memang tidak suka membaca’, maka tidak perlulah membazirkan masa anda bagi membaca artikel ini. Peace.

Bismillah al-Rahmaan al-Rahiim

Beberapa orang sahabat bertanya kepada saya bagaimana memupuk minat membaca dan terus istiqamah dengan tabiat tersebut. Sebenarnya saya sendiri bukanlah seorang yang gila baca, tetapi bagi menyahut seruan Iqra`; seruan pertama yang telah Allah wahyukan kepada Nabi kita Muhammad shallahu alaihi wasallam dan perasaan cinta kepada ilmu itu membuatkan saya terus membaca dan membaca.



Ingin sekali saya kongsikan kepada sahabat-sahabat sekalian beberapa kaedah yang saya gunakan agar minat membaca tetap subur di dalam jiwa. Saya sekadar menyenaraikan apa yang benar-benar saya amalkan sahaja dan ianya cuma secebis kuman berbanding pelbagai lagi kaedah yang lebih efektif di luar sana.


1. KESEDARAN

Kita perlu mengubah pemikiran sebelum mengubah kebiasaan yang ada pada diri kita.

Tanyakanlah pada diri kita :

Memadaikah pengetahuan yang kita ada?
Sudahkah kita mendalami agama Islam dengan sebaiknya?
Apakah persediaan kita dari sudut ilmu untuk membina rumahtangga?
Apakah persediaan kita dari sudut ilmu untuk mendidik anak-anak?
Adakah ibadah yang kita amalkan sehari-hari bertunjangkan ilmu atau sekadar taqlid?
Cukupkah ilmu yang kita ada untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Ta`ala?

Sahabat-sahabat, agama kita ini kaya dengan khazanah ilmu. Amatlah rugi jika kita kita tidak memanfaatkannya untuk kebaikan dunia dan akhirat kita. Ilmuan Islam terdahulu dan kini bersungguh-sungguh menghasilkan penulisan mereka untuk manfaat generasi akan datang. Jadikan perkara itu sebagai motivasi untuk kita terus membaca. Mereka tulis, kita tinggal membaca sahaja!

2. MELAZIMI MEMBACA AL-QURAN

Jawapan utama saya kepada sahabat-sahabat yang bertanya kepada saya; bagaimana untuk rajin dan suka membaca buku? Jawab saya : Rajinkan diri dahulu untuk membaca al-Quran secara konsisten.

Membaca al-Quran secara konsisten mengajar kita agar berdisiplin dan menyusun waktu sebaiknya. Dengan membaca al-Quran juga melatih fikiran kita agar lebih fokus. Masakan tidak, ketika kita membaca kalam Allah ini, pastinya kita akan meneliti baris-baris hurufnya, dengungnya dan segala hukum tajwidnya. Hidayah yang terkandung di dalam al-Quran akan mula tersingkap sedikit demi sedikit seandainya kita istiqamah membacanya setiap hari walaupun sekadar sehelai. Yakinlah sahabat.

3. BERTAHAP

Diantara punca kita cepat jemu ketika membaca adalah kerana kita membaca genre yang tidak sesuai dengan tahap kemampuan diri kita, lalu kita langsung meninggalkan aktiviti ini. Hanya diri kita yang tahu di mana tahap kita dan genre yang kita minati. Mulakan dari asas, sebagai contoh jika kita ingin membaca hadits nabi, mulakan daripada hadits 40 Imam Nawawi, kemudian Kitab Riyaadhussaalihin dan seterusnya.

Walaupun begitu, kita tidak boleh sekadar selesa dengan genre yang kita minati sahaja. Pelbagaikan bahan bacaan untuk meluaskan pemikiran kita dan tidak hanya membaca bahan picisan.

4. FOKUS

Membaca memerlukan fokus yang tinggi agar kita dapat menceduk sebanyak mungkin ilmu yang kita baca. Bagaimana untuk melatih fokus telah saya kongsikan di poin nombor 2. Kadangkala tanpa kita sedari, masa kita terbuang dengan membaca kerana kita membaca dalam keadaan yang tidak fokus lalu kita tidak dapat mengutip apa-apa manfaatpun melalui buku yang kita baca. Ianya menyebabkan kita mengulang kembali pembacaan kita beberapa kali. Membuang masa, bukan?

Apabila kita sudah berazam untuk membaca sesebuah buku, usahakan untuk membaca buku tersebut sehingga habis dan elakkan berniat untuk membacanya buat kali yang kedua. Bermaksud, fokuslah ketika membaca perenggan demi perenggan yang terdapat di dalam buku tersebut sehingga akhirnya.

Tidak kurang juga yang menjadikan aktiviti membaca sekadar ‘ubat tidur’. Hal ini tidaklah menjadi kesalahan tetapi ianya bukanlah tujuan utama kepada membaca.

5. MEMBACALAH DI MANA-MANA

Bawalah buku ke mana sahaja kita pergi. Barangkali nanti kita akan terpaksa menunggu lama di kaunter bank ataupun ketika menanti kedatangan guru. Jadi, masa yang terluang itu dapat diisi dengan membaca al-Quran ataupun buku. Kebiasaannya kita akan berasa malu untuk membaca di khalayak umum lebih-lebih lagi didalam suasana yang budaya membacanya masih di tahap minimum. Buanglah rasa malu itu dan suburkan budaya membaca. Jika bukan kita yang mulakan, siapa lagi?



Di zaman teknologi ini, kita mempunyai pelbagai kemudahan untuk membaca seperti software yang terdapat di dalam telefon pintar dan sebagainya. Manfaat telefon pintar itu biarlah setara dengan harga yang kita bayar ketika membelinya. Ketika ini lambakan buku elektronik boleh di muat turun secara percuma sahaja di internet. Lalu apa lagi alasan kita untuk tidak membaca?

6. MENCATAT ISI PENTING

Suatu ketika saya meminjam sebuah buku daripada seorang sahabat. Saya dapati di dalam buku tersebut banyak perkara yang boleh saya manfaatkan tetapi saya tidak mampu mengingatnya semua. Kerana bimbang manfaat tersebut hilang begitu sahaja seiring saya memulangkan buku itu, saya mendapat idea untuk mencatat isi-isi penting dan kata-kata hikmah yang terdapat di dalam buku tersebut. Ini kebiasaannya saya lakukan apabila membaca buku yang dipinjam.

Adapun jika buku tersebut milik kita sendiri, kita bebas untuk mencatat poin tambahan yang kita dapati, menggaris ataupun meng’highlight’. Kita juga boleh melakukan ringkasan kepada huraian panjang yang dibuat oleh penulis agar kita jelas dengan apa yang ingin disampaikan.

7. DISIPLIN

Statistik purata rakyat Malaysia yang membaca hanya pada kadar dua naskhah buku setahun. Purata dua naskhah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam tempoh setahun itu pula adalah bahan bacaan santai berupa komik, majalah dan akhbar.
(Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz2OYhKAF6T)

Sebenarnya, tanpa disiplin, kita tidak mampu untuk menghabiskan walau sebuah bukupun. Dr. Raghib as-Sirjani pernah menyatakan, membaca itu bukan suatu hobi tetapi ianya suatu keperluan, sebagaimana diri kita memerlukan minuman untuk terus hidup. Tetapkan target kita untuk membaca dan pastikan setiap hari kita peruntukkan sedikit waktu untuk membaca buku selain daripada buku yang kita pelajari di jami`ah.

8. JADIKAN BUKU TEMAN MUSAFIRMU

Pemandangan biasa yang kita lihat di Malaysia, masyarakat Cina gemar membaca hatta di dalam kenderaan sekalipun. Kita pula kadangkala terperangkap didalam pemikiran kita sendiri bahawa membaca di dalam kenderaan itu menyebabkan kepala pening. Itulah yang saya alami dahulu. Tetapi jika difikirkan semula, adakah pening ketika membaca di dalam kenderaan itu hanya dialami oleh bangsa Melayu sahaja? Lalu saya mengubah ‘mindset’ tersebut dan saya dapati ianya tidaklah sebagaimana yang difikirkan.

Kita mampu untuk membaca di dalam kenderaan sekiranya kita benar-benar fokus pada bahan yang dibaca. Saya pernah menghabiskan sebuah buku yang mempunyai lebih kurang 170 muka surat dalam masa dua hari sahaja ketika bermusafir jauh. Saya mencadangkan agar buku yang ingin dibaca ketika bermusafir ini hanyalah genre yang santai sahaja seperti karya motivasi, novel dan sebagainya.

Kata penyair : “Sebaik-baik teman duduk dan berbicara adalah buku, ianya tetap menemani kita walau teman yang lain pergi meninggalkan kita.”

9. AMALKAN

Segera amalkan apa yang kita baca kerana ianya membantu untuk ilmu tersebut lebih mudah terpahat di ingatan. 'Ceramah'kan ia bersama rakan-rakan, kongsikan di blog, Fb, Twitter dan sebagainya.

Kata ulama : “Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang diketahuinya, maka Allah akan merezekikannya ilmu yang dia tidak ketahui”.


PENUTUP

Setiap perkara yang kita suka untuk lakukan mempunyai risikonya tersendiri. Risiko utama jika kita suka membaca buku adalah kehabisan wang kerana membeli buku. Antara risiko yang lain, kita terpaksa mengurangkan waktu rehat, waktu berseronok bersama teman-teman dan aktiviti hiburan sampingan.

Sesungguhnya kecintaan kepada ilmu itu suatu hiburan yang tidak ternilai nikmatnya berbanding hiburan-hiburan yang lain.

Akhir kata, binalah peribadi kita dengan membaca kerana apa yang terzahir dari diri kita adalah melalui apa yang kita baca. Wallahu `Alam.



Mu`tah
25032013
1842

Sunday, January 20, 2013

Bingkisan Buat Muslimah Muda

“Eh, awak tak makan sayur?” Tanya Amirah kepada Safiah suatu hari ketika mereka sedang menikmati juadah hari raya di rumah Safiah.

“Kita memang tak makan sayur. Takleh nak telan. Carrot je yang kita makan” balas Safiah.

“Yeke..Habis awak nak ajar anak awak makan sayur nanti macam mana? Awak suruh je anak awak makan, tapi awak tak makanpun sayur, lepas tu anak awak cakap ‘ala mamapun tak makan sayur!’ haha..Nak jawab apa kat anak nanti?” Amirah tergelak kecil. Dalam nada bergurau, sempat juga dia menyinggung Safiah.

“Ala akak ni, nanti kita cari la suami yang makan sayur..” jawab Safiah. Mudah.

“Haha..boleh plak gitu..Makanlah sayur tu, bukan pahitpun. Nak ajar anak makan sayur nanti senang”.. sempat Amirah memberi pesan sebelum meneruskan makan..





Itu baru kes makan sayur. Belum masuk yang lain lagi. Hakikatnya ramai wanita masih menanti, menunggu dan terus mengharap kepada lelaki yang ‘makan sayur’, berilmu dan beriman datang melamar mereka untuk dijadikan suami. Mudah tugas mereka mendidik anak nanti, fikir wanita. Lantas wanita mengambil remeh persediaan menuju ke alam rumahtangga.

Tulisan ini bukanlah ingin menceritakan perihal mendidik anak kerana saya sendiri belum berpengalaman mengenainya. Tetapi sekadar ingin ‘mengetuk’ pemikiran sesetengah daripada kita yang mengambil remeh tentang PERSEDIAAN sebelum menghadapi bahtera rumahtangga. Persediaan ini bukan hanya terbatas pada aspek fizikal dan material semata-mata tetapi ia juga merangkumi aspek rohani dan iman. Bukan sekadar pada penjagaan tubuh badan, kewangan dan sebagainya.

Tidak sedikit wanita yang sanggup berhabis duit untuk membeli alat solek, pakaian yang bergaya, jam tangan yang berjenama tetapi wanita terlupa untuk menambahkan kualiti diri dari aspek keilmuan dan keimanan. Wanita rasa terbazir membeli bahan bacaan kerana memang tidak rajin membaca. Prof. Dr. Muhammad `Uqlah Ibrahim, Pensyarah Universiti Yarmouk, Jordan pernah menimbulkan persoalan : “Wahai bakal ibu, berapa buah buku tarbawi (pendidikan) yang kamu baca sebelum kamu melahirkan anak kamu?”

Indahnya bicara penyair Arab ini;

يا خادم الجسم كم تسعى لخدمته # أتطلب الربح مما فيه خسران
أقبل على النفس فاستكمل فضائلها # فأنت بالنفس لا بالجسم إنسان


“Wahai kamu yang selalu mengurusi badanmu, betapa banyak usaha yang telah kamu lakukan, apakah kamu mencari keuntungan dari sesuatu yang jelas merugikan. Perhatikan jiwamu, sempurnakan keutamaannya. Kerana kamu disebut manusia dengan jiwa, bukan kerana tubuh jasadmu”.


Apa yang ingin saya tekankan berdasarkan dialog ‘sayur’ di atas adalah mengenai diri kita pada hari ini selaku wanita muslimah. Bagaimana kita ingin menghadapi cabaran masa hadapan jika hari ini kita masih belum membuat persediaan dan perubahan?

Lalu, bagaimana seorang ibu ingin mengajar anaknya memakan sayur jika dia sendiri tidak menggemari sayur?
Bagaimana seorang ibu ingin mengajar anaknya bertudung jika dia sendiri jambul tersembul?

Dan persoalan yang paling penting untuk wanita muslimah bertanya pada dirinya;
“Andai aku sendiri selaku Muslimah tidak menghayati Islam dengan penghayatan yang benar, lalu bagaimana nanti mahu mentarbiyah anak-anak dengan ajaran Islam?”

Tanyakan lagi;

“Adakah tanggungjawab mentarbiyah masyarakat -lelaki dan perempuan- hanya terletak di bahu lelaki sahaja?”

Jika persoalan ini mampu dicermati dengan baik, maka tentulah seseorang yang bergelar wanita muslimah tidak hanya merasa selesa untuk terus menanti sambil menggoyang kaki mengharap ‘Putera Beriman’ datang melamar. Persediaan ini perlu difikirkan secara serius kerana wanita bakal mentarbiyah dan membentuk generasi mukmin yang mempunyai ruh Islam.

Dr. Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya ‘Tarbiyatul Awlad’ menyebut:

“Diantara faktor-faktor yang menyebabkan kedegilan anak, kerosakan akhlaknya dan keruntuhan peribadinya adalah kerana pengabaian ibu bapa terhadap memperbaiki diri anak, dan tidak menyibukkan diri untuk membimbing dan mendidik mereka. Dan kita janganlah meremehkan peranan ibu dalam memikul amanah, dan melaksanakan tanggunggjawab memelihara anak-anak dan mendidik mereka, serta mengawasi persediaan anak-anak dan menasihati mereka. Maka ibu dalam memikul tanggungjawab adalah sama seperti bapa, bahkan tanggungjawab ibu lebih penting dan lebih berat kerana ibulah yang sering mendampingi anak-anak sejak kelahiran anak sehingga anak membesar menjadi remaja”


KETAHUILAH HUKUM-HAKAM AGAMAMU

Diantara tanda kebagusan ke-Islaman seorang wanita adalah apabila dia mengetahui selok-belok agamanya. Sikap inilah yang dimiliki oleh Mukminat di zaman Nabi s.a.w dahulu sebagaimana yang dimiliki oleh Ummu Salamah Radhiyallahu `anha. Sifat malunya tidak menghalang beliau untuk menuntut ilmu daripada Nabi s.a.w sekalipun soalan yang diajukan kepada Nabi dilihat aneh seperti wajibkah seseorang wanita itu mandi sekiranya dia bermimpi dan melihat terdapat kesan air mani pada pakaian.



Kata ‘Aisyah Radhiyallahu `anha: “Sebaik-baik wanita, adalah wanita Ansar, malu tidak pernah menghalang mereka bertafaqquh dalam agama.”

Selagimana wanita dikongkong rasa malu dan tidak mahu mengetahui hukum-hukam
agama, maka ini merupakan kesalahan yang amat besar lagi berbahaya. Wanita hendaklah membiasakan diri untuk tidak merasa malu dalam mempelajari hukum-hakam agama, baik hukum itu kecil mahupun besar. Kerana jika seorang wanita lebih banyak dikongkong rasa malu, maka dia sama sekali tidak akan mengetahui sesuatupun.




Menjadi kewajipan seorang ibu untuk mengajar anak-anak mengenai aqidah, ibadah, menanamkan kecintaan terhadap Allah dan Rasulullah, mengajarkan mereka al-Quran, akhlak dan adab kerana semuanya itu merupakan hak yang perlu ditunaikan kepada anak-anak.

MASIH BELUM TERLAMBAT

Peranan seorang ibu bukan sekadar menyediakan makan minum, mencuci pakaian dan segala yang berkaitan pengurusan rumahtangga tetapi seorang ibu memainkan peranan penting dalam menyuburkan mawaddah, sakinah dan rahmah dalam keluarga agar dapat menuntun keluarga sehingga ke syurga.


Firman Allah s.w.t:

يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا

“Wahai Orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka” (At-Tahrim : 6).

Kehidupan kita pada hari ini mencerminkan kehidupan kita pada 5-10 tahun akan datang. Selepas bernikah baru hendak berubah mendalami agama dan baru hendak membentuk keperibadian muslimah yang sebenar, sudah agak terlambat. Ibarat sudah terjun ke dalam laut, kemudian baru hendak belajar berenang. Amat risiko.

Jika hari ini wanita belum puas menikmati zaman gadisnya dan belum mempunyai calon suami, bukan bermaksud wanita tidak perlu membuat persediaan untuk menempuh alam rumahtangga nanti. Tingkatkan ilmu khususnya mengenai hukum-hakam agama, kewanitaan, anak-anak, seksual dan kemahiran-kemahiran yang dapat dimanfaatkan selepas bernikah. Disamping itu, menjaga kesihatan dan mencantikkan diri juga penting kerana diantara punca sukarnya wanita bernikah kerana pengabaian mereka terhadap aspek fizikal diri. Dan yang paling penting, wanita perlulah meningkatkan ibadah dan ketaqwaan sebagai kekuatan jiwa dan persediaan untuk menghadapi ujian rumahtangga kelak.


Benarlah kata-kata penyair Hafizh Ibrahim:

الأم مدرسة إذا أعددتها # أعددت شعبا طيب الأعراق
الأم روض إن تعهده الحيا # بالري أورق أيما إيراق
الأم أستاذ الأساتذة الأولى # شغلت مآثرهم مدى الآفاق


“Ibu adalah sekolah, jika kau persiapkan ia dengan baik, maka kau telah menyiapkan generasi yang harum namanya.
Ibu adalah taman, jika kau rawat dan kau siram, maka ia akan menjadi indah menghijau hamparan.
Ibu adalah guru para pendidik ulung yang penga¬ruh¬¬nya menyebari seluruh penjuru dunia peradaban”


Kehebatan seorang ibu bakal melahirkan generasi yang akan menegakkan panji-panji Islam di masa hadapan. In-syaa-Allah.

Monday, December 10, 2012

Kita Mampu Tetapi Tersilap Mahu

"Eh, seronok ke awak dengar lagu Korea ni? Boleh faham ke bahasa dia?" tanya Ummu kepada Ros.

"Faham je, sebab tu saya dengar. Kalau tak faham takdenye saya nak dengar. saya search la lirik dia. ada translate ke English" jawab Ros sambil tersenyum menzahirkan keseronokannya.

"oh, macam tu ke..Patutpun boleh layan je ek..seronok rupanya sebab faham"..

hebat rupanya manusia. Kemahuan mereka mencetuskan kemampuan.



PERLU MAHU

kita mampu sebenarnya. alangkah indahnya sekiranya kemampuan itu kita halakan kepada kemahuan yang benar. Kemahuan yang memberi keseronokan hakiki, yang memberi manfaat buat dunia dan akhirat nanti.

Dan keseronokan yang sebenar itu tidak semua orang mahu. Tidak semua orang dapat menikmatinya meskipun mereka berkemampuan.


Demikianlah sikap kita terhadap al-Quran. Sebenarnya kita mampu untuk memahaminya sekiranya kita mahu. Cetuskanlah kemahuan, pasti akan ada keseronokannya.


Andai kita mampu berusaha untuk memahami lagu-lagu berbahasa asing, al-Quran itu lebih-lebih lagi mampu untuk kita fahami kerana bahasa Arab yang telah lama kita pelajari.



(Tafsir Ibnu Katheer, ianya memadai sebagai permulaan dalam memahami al-Quran)



Bagi orang beriman itu ada caranya tersendiri untuk menghiburkan jiwa dan menghilangkan tekanan perasaan. Hiburannya melalui al-Quran. Keseronakan mendalami isi kandungannya tiada tandingan. Baginya, tiada keperluan lagi untuk berhibur dengan selain al-Quran.

Di dalamnya Allah ingin mencetuskan kemahuan untuk beramal dari hamba-hambanya dengan menjanjikan pelbagai nikmat yang terdapat di dalam syurga.

Allah juga memberitahu kita melalui firmanNya, mengenai azab-azab yang pedih dan berat di dalam neraka agar kita berasa takut. Agar kita sentiasa inginkan pengampunanNya. Agar kita selalu mengingat bahawa hidup di dunia ini hanya sementara, sebagai tempat persinggahan sahaja.




Ya Allah, tambahkanlah kami ilmu yang mendekatkan diri kami kepadaMu

Bayt Ilmi,
10.12.2012
1518




Tuesday, January 31, 2012

sakit yang Menyakitkan

Alhamdulillah pagi ni selesai mengkhatamkan dua buah buku Tribute Buat Nenda (I dan II)


antara kaedah membaca yang berkesan ialah dengan menyalin isi-isi penting yang terdapat dalam buku yang kita baca. tambahan pula buku ni saya pinjam dari seorang kawan lebih sebulan dah. rugilah kalau sekadar baca tapi tak catit apa-apa kerana otak kita tak mampu nak simpan semua perkara.

selesai mencatit pengajaran penting daripada buku tersebut, baru saya terfikir sepanjang hampir lima bulan saya di jordan ni rupanya saya telah diuji dengan pelbagai penyakit. penyakit yang tidaklah begitu kritikal tetapi ianya berpanjangan. hampir sembuh dari satu penyakit, penyakit lain pula datang menduga. dan ini penyakit yang ketiga sepanjang tempoh saya berada di sini.


sebelum saya tiba di sini, saya juga mengalami sakit yang sudah berlarutan lebih dua tahun. berkali juga ke klinik tetapi sakit tu tetap tidak hilang. ketika saya sedang mengemas barang untuk ke sini, ma menitipkan doa untuk saya:

"pergi jordan nanti insyaAllah sembuhlah tu..gi mandi laut mati ke..."

Alhamdulillah, ya Allah, terasa sungguh berkat doa ma. tak sampai sebulan saya di sini penyakit tersebut sembuh tanpa perlu ke laut mati! kalaulah ma tahu betapa gembiranya saya...

dan dihujung talian saya, selalu saya pesan kepada ma supaya sentiasa berdoa untuk saya.



AZABNYA ADALAH KETIKA HILANGNYA KELAZATAN SUJUD


dan kini saya diuji lagi dengan penyakit. saya bukanlah orang yang selalu sakit. kalau rajin baca entry di http://www.khaalahzu.blogspot.com/2009/12/hari-hari-yang-dilalui-di-dq-ini.html
dan kerana hal ini saya selalu bertanya pada diri, kalau Allah sayangkan saya, kenapa saya tidak diuji? kerana teringatkan firmanNya:

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون


Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? (surah al-Ankabut;2)


terasa begitu hina kerana tidak diuji. saya tahu, ujian itu bukanlah sekadar pada kesusahan hidup, kesakitan dan kelemahan. tetapi ujian itu juga hadir dalam bentuk kesenangan.

dan ulama' terdahulu ada menyatakan, terkadang kita tidak merasa diri kita diuji sedangkan tanda azabNya adalah ketika mana kita tidak merasa nikmatnya ruku` dan sujud padaNya. yakni ketika kita mendirikan solat tetapi tiada rasa kelazatan apatahlagi kekhusyu`kan, sebenarnya itulah azab yang Allah sedang timpakan pada diri kita. Na`uzubillah..

MALU UWAIS AL-QARNY


Uwais al-Qarny ditanya oleh ibunya;
"apakah yang engkau doakan di hadapan Baitullah wahai Uwais?
"

jawab Uwais;
"saya telah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosamu wahai ibu"


"lalu apakah yang telah kamu doakan untuk dirimu" tanya ibunya lagi.


"saya hanya mendoakanmu wahai ibu! sesungguhnya jika Allah mengizinkan jannahNya padamu, maka tentu Dia turut meredhaiku"
jawab Uwais.

lalu ibunya berkata kepadanya;
"wahai anakku, berdoalah pada Allah agar dihilangkan penyakit kulit yang ada padamu"

Uwais dengan rendah hati menjawab; "wahai ibuku yang mulia, sesungguhnya saya malu untuk berdoa sebegitu. terasa benar hatiku ini seolah-olah tidak redha dengan pemberianNya."


Subhanallah, terkedu seketika mengenangkan sikap Qana`ah dan ketaatan Uwais al-Qarny pada Allah.


SAKIT ITU MENYAKITKAN


Allah, kami cuma hamba. sudah tentu banyak salah dan celanya. seharusnya sikap hamba adalah mentaati Tuhannya dan menerima segala perlakuan Tuhan kepadanya.

sesetengah manusia akan merasa tertekan dengan penyakit berlarutan yang menimpanya. jika tidak bersandar pada Tuhan, apalah nikmat sakit itu tidak lain hanya menambahkan penyakit; zahir dan batin. penyakit fizikal, ubatnya boleh dibeli, sengsaranya terhenti sekadar di dunia. penyakit batin; jika tidak diubati sebaiknya, menderitanya membawa ke neraka. na`uzibillah..

sebagai akhirnya, saya pinjam kata-kata Dr. Zaharuddin (hafizahullah):

Wajarkah jika kita melakukan sesuatu yang Allah BENCI, manakala kita sentiasa meminta dariNya apa yang kita SUKAI?
Syukurlah Allah itu maha pengasih dan besar rahmatNya, justeru kita masih TERUS digalakkan untuk terus meminta walau seburuk manapun yang kita persembahkan kepada Allah, cuma sampai bilakah hati itu ingin INSAF??



1 FeB 2012.
0846,mu`tah

Sunday, January 29, 2012

DOSA APAKAH YANG MENYEBABKAN KITA MENJADI MALAS?

menuntut ilmu itu adalah suatu hiburan bagi seseorang yang bijak menghargainya. hatinya rasa terhibur jika waktunya dipenuhi dengan menuntut ilmu, rasa terhibur melangkah pergi dan pulang dari majlis ilmu, ke kelas-kelas. hiburan yang tidak ditemui pada drama-drama ataupun filem-filem cinta mahupun lagu-lagu romantis. justeru, untuk menjadi seorang pencinta ilmu itu perlu dididik. ianya tidak lahir dengan sendiri dan tidak pula secara terpaksa, memaksa dan dipaksa.

seseorang telah bertanya kepada Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti (Director of the Islamic Center of South Plains, Lubbock, Texas);
"ketika saya belajar dan cuba menghafal al-Quran, perasaan malas dan jemu menguasai diri saya. nasihatilah akan daku wahai syeikh. jazakumullah khairan katheera".

lalu syeikh menjawab dengan tegas;
"sekiranya perasaan malas menguasai dirimu, usirlah ia. ya, jika seseorang itu serius dan benar dalam sesuatu perkara, dia tidak akan terjejas oleh sikap malas dan bertangguh.

seandainya dikatakan kepadamu; 'di dalam rumah ini terdapat 1000 riyal yang akan menjadi milikmu sekiranya kamu sanggup tunggu selama sejam'. Demi Allah, kamu akan tunggu sehingga ke penghujung hari! dengan syarat engkau tidak tidur, tidak malas dan kamu tidak bergantung pada orang lain. kemudian, apa yang berlaku?

bagaimana pula dengan kurniaan Allah yang tidak ternilai? kemalasan dan kejemuan apa yang mendatangimu? singkirkanlah kemalasan dan sikap bertangguhmu ketika kamu ingat apa yang ada pada Allah.

kemalasan dan kejemuan apakah yang mendatangi seseorang yang sedang menuntut ilmu, sedangkan dia tahu malaikat mengelilinginya ketika itu?

kemalasan dan kejemuan apakah yang mendatangi seseorang yang sedang duduk berhimpun dan berurusan dengan Raja sekalian raja (Allah), seorang hamba yang telah berpaling daripada dunia dan mendekati Rabbnya?

kemalasan dan kejemuan apakah yang mendatangimu sedangkan pada ketika itu kamu membuka Kitabullah yang padanya mengandungi perkhabaran dan sirah-sirah yang sepatutnya membuatkan seseorang tidak mengantuk, yang membuatkan airmata mengalir serta merendah diri.

kemalasan dan kejemuan apakah yang mendatangimu sedangkan engkau pada ketika ini menguruskan perkara-perkara yang serius, yang tiada main-main, dan ianya kebenaran yang tiada hal-hal yang batil di dalamnya.

kemalasan dan kejemuan adalah kerana kita tidak mengenal Allah jadi kita perlu benar-benar mengetahui tentangNya.

kemalasan dan kejemuan itu adalah kerana kita tidak tahu kita di mana.

seseorang yang menuntut ilmu sedangkan dia tidak menyedari Allah sedang mendengar dan memerhatikannya.

kalaulah kita tahu, kitab apakah yang lebih baik untuk kita ambil apabila kita telah mengambil Kitabullah?

kalaulah kita tahu dengan siapa kita berurusan ketika kita meninggalkan rumah kita untuk menuju ke medan ilmu.

kalaulah kita tahu, ketika kita berjaga malam untuk menuntut ilmu sehingga badan kita menjadi letih, kita membaca Kitabullah atau hadith-hadith Nabi s.a.w. serta menjaganya untuk ummat.

tidakkan kamu tahu malaikat turun kerana kamu sedang melaksanakan amalan soleh, kamu akan dibangkitkan dengan berbaris teratur, dan pintu langit terbuka untukmu hasil daripada usahamu menuntut ilmu, menulis, membaca, mendengar yang mengingatkanmu tentang dunia dan akhirat. inilah hasil daripada apa yang kamu baca, tulis, fahami dan lihat, yang mana ianya mengangkat darjatmu di akhirat kelak dan sebagai kaffarah terhadap dosa-dosamu.

adakah engkau sedar, pada hari engkau meninggalkan rumahmu, keluar untuk menuntut ilmu, engkau ikhlas terhadap Tuhanmu, dan Allah melihat tiada sesiapa di hatimu melainkan Dia. mungkin juga kamu keluar kerana terdapat perkara yang menyibukkan kamu, atau mungkin kamu keluar setelah berjaga di malam hari dan kamu berkata; 'aku tetap mahu berjaga demi untuk mengharapkan keredhaan Rabbku. kemudian kamu menuju ke majlis ilmu tersebut untuk mendapatkan keredhaan Allah, tanpa riya` dan sum`ah. kemudian diutuskan malaikat untuk menyaksikan amalmu.

dan amat menakjubkan, ketika kepulanganmu dari menuntu ilmu, bagaikan bayi yang baru dilahirkan (tidak berdosa).

amat menakjubkan bagi seorang penuntut ilmu yang keluar dari rumahnya untuk kemaslahatan ummat Muhammad s.a.w. seakan-akan lidahnya berkata; 'aku bersaksi padaMu ya Allah, bahawa aku ingin menuntut ilmu kerana ingin dekat denganMu, kerana ingin mencari keredhaanMu, maka tinggikanlah darjatku dan ampunilah dosa-dosaku, berkatilah untukku ilmuku, dan jadikanlah ianya bermanfaat dan syafaat buatku, pada hari yang tiada manfaat lagi harata benda dan anak pinak.

dan seandainya seorang penuntut ilmu itu deberi pilihan diantara ilmu yang dimiliki dari helaian-helaian al-Quran dan assunnah yg diamalkannya dengan kekayan harta, keselesaan dan hiburan, nescaya dia akan memilih helaian-helaian tersebut dan mendapat penghormatan dengannya.

wahai penuntut ilmu, bangunlah dari lenamu, berilah perhatian kepada kelalaianmu, dan ingatlah Rabbmu yang Maha Agung dan Maha Mulia. kita tidak berasa menyesal untuk apa yang menyelesakan diri kita, tentang apa yang sedang berlaku dan telah berlaku, demi Allah kita tidak akan menyesal kecuali sekiranya kita tidak menunaikan hak Allah dengan sebaiknya.

ilmu ini tiada ruang untuk untuk kita bermalasan, ilmu ini membuatkan hati kita gementar. bagaimana kamu boleh mengantuk padahal kamu sedang mengingati syurga dan neraka. bagaimana kamu boleh tertidur? bagaimana kamu boleh bersuka-ria sedangkan kamu tidak tahu sama ada kamu akan mati dalam Islam ataupun tidak. bagaimana kamu boleh berehat-rehat dan bermalasan padahal kamu sedang berinteraksi dengan Allah? memalukan bagi seorang penuntut ilmu jika tidak menunaikan hak-hak Allah dengan sebaiknya.

sesungguhnya dunia dan perhiasannya telah berlalu pergi, sehingga menyebabkan penuntut ilmu juga semakin jauh dari Allah. maka khabarkanlah berita gembira kepada mereka yang membesarkan Allah dengan cara yang selayaknya.

wahai penuntut ilmu, bertaqwalah kamu kepada Allah, yang sedang memerhatikanmu walaupun ketika kamu sedang berbaring. dan sekiranya kamu ingin menuntut ilmu, penuhilah hatimu dengan membesarkan Allah, takutkan Allah, dengan demikian kamu akan menjadi orang yang bahagia, yang berjaya, yang `alim dan suci.
sesungguhnya ilmu itu tidak akan dimiliki oleh orang yang malas dan bertangguh.

إنا سنلقى عليك قولا ثقيلا
(Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu- al-Muzaammil;5)

ketahuilah, bahawasanya tidak akan ditimpa kemalasan, kelalaian dan kejemuan terhadapmu melainkan ianya disebabkan oleh dosa-dosamu. dan ilmu itu tidak akan datang kepadamu sekiranya kamu lalai. dan penawarnya ialah panduan yang telah Tuhanmu berikan padamu. perbanyakkanlah memohon ampun dan bertaubat pada Allah. dan katakanlah;
'Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada segala kejahatan yang ada padaku' kemudian pohonlah pada Allah supaya diampunkan dosa yang menghijabmu dari mendapatkan ilmu. kerana tiada penghalang yang lebih teruk daripada terhalangnya beramal dengan ilmu.

ya Allah, dengan kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaanMu, aku memohon ilmu pengetahuan yang mendekatkan kami denganMu, kasihanilah kelemahan kami, peliharalah kami dari fitnah (ujian, dosa) yang zahir mahupun yang tersembunyi. Ya Allah, lapangkanlah dada kami untuk dengan ilmu, terangkanlah hati kami dengan ilmu, perteguhkanlah lidah kami dan perbaikilah anggota badan kami, pimpinlah diri kami kepada setiap tindakan yang Engkau redhai.

Ya Allah, kami memohon ilmu yang mendekatkan kami kepadaMu, hilangkanlah segala penghalang yang menyekat diantara kami dan Engkau. dan kami berlindung denganMu daripada sikap riya` dan sum`ah.


ya Allah, jadikanlah kami orang yang takut kepadaMu, bertaqwa kepadaMu, dan mencari keredhaanMu. palingkanlah kami dari sikap riya` dan sum`ah. penuhilah hati kami dengan ketaqwaan dan ketakutan kepadamu. jadikanlah kami dikalangan orang-orang yang suci, limpahkanlah kami kesejahteraan dalam mencari ilmu.

ya Allah, sejahterakanlah hati kami. amin


kata Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah Rahimahullah, Cara Untuk memperolehi ilmu ialah dengan;

1. berdoa dan memohon kepada Allah, mohon bantuan dan zahirkan keperluan anda kepadaNya.

وقل رب زدني علما
"Dan katakanlah, ‘Wahai Rabbku, tambahkanlah ilmu kepadaku." (Thaha: 14)

2. Niat yang ikhlas dalam menuntut ilmu

3. Berusaha dan merangsang diri dalam menuntut ilmu dan minat yang mendalam terhadapnya.

4. Menjauhi maksiat dan bertaqwa kepada Allah merupakan faktor terpenting dalam menuntut ilmu.

5. Tidak malu dan tidak berlaku sombong serta takabbur.

6. Beramal dengan ilmu yang diperolehi.



jelaslah kepada kita bahawa menuntut ilmu itu memerlukan komitmen yang tinggi. kita bukan sahaja digalakkan untuk menambahkan ilmu bahkan kita juga perlu memohon supaya dikurniakan ilmu yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. jika dilanda rasa jemu dan malas, bermuhasabahlah. moga Allah ampunkan kesalahan-kesalahan kita

Friday, January 6, 2012

DOA solat DHUHA

BISMILLAH..


Doa solat dhuha sangat popular dan banyak diamalkan oleh sebahagian kaum muslimin, sehingga dinasyidkan oleh sebuah kumpulan nasyid tanah air. namun benarkah doa ini memang ada sumbernya dari bagnda Nabi s.a.w?

Inilah doa tersebut :

اَللّهُمَّ اِنَّ الضُّحَاءَ ضُحَاءُكَ وَالْبَهَاءَ بَهَائُكَ وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ اَللّهُمَّ اِنْ كَانَ رِزْقِى فِى السَّمَاءِ فَاَنْزِلْهُ وَاِنْ كَانَ فِى اْلاَرْضِ فَاَخْرِجْهُ وَاِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ وَاِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ وَاِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ بِحَقِّ ضُحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ اَتِنِى مَااَتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

yang bermaksud:

Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu,keagungan adalah keagungan-Mu, kebagusan adalah kebagusan-Mu,kekuatan adalah kekuatan-Mu,kekuasaan adalah kekuasaan-Mu, dan penjagaan adalah penjagaan-Mu.
Ya Allah, apabila rezkiku di atas langit maka turunkanlah,bila di dalam bumi maka keluarkanlah,
bila sukar maka mudahkanlah, bila haram maka sucikanlah,dan bila jauh maka dekatkanlah dengan berkat waktu dhuhaMU, keagunganMU, keindahanMU, kekuatanMU dan kekuasaanMU,
limpahkanlah kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMU yang soleh.”

Doa solat dhuha seperti ini berasal dari Hadits yang MAJHUL (TIDAK DIKENAL / TIDAK ADA ASALNYA).

Sekalipun doa tersebut dicantumkan dalam kitab-kita fiqh, separti I’anah Thalibin (I/401-402) Abu Bakar Syatha, dan lain sebagainya,namun tidak terdapat dalam kitab-kitab hadits yg terpercaya.

Syaikh Salim al-Hilali pada 25 Rabiul awwal 1424 H, berkata,
“Tidak ada dalam kitab-kitab hadits”.

Syaikh al-Muhaddits Abdul Muhsin al-‘Abbad pernah ditanya tentang do’a ini, namun beliau hanya tersenyum saja. Itu tandanya hadits tersebut tidak ada asalnya menurut beliau.

[Disalin dari KOREKSI HADITS-HADITS DHA’IF POPULER, Penulis: Abu Ubaidah Yusuf Bin Mukhtar As-Sidawi]


Mungkin sebahagian dari kita sudah terbiasa dengan doa ini. tidak salah untuk diamalkan tetapi alangkah baiknya sekiranya amalan kita bersumberkan dari hadits2 Nabi s.a.w yang Baginda ajarkan kepada kita. dari situ kita akan mendapat dua pahala.

1. pahala mengamalkan sunnah nabi s.a.w
2. pahala berdoa


di sini saya ingin kongsikan doa yg didoakan Nabi s.a.w kepada Anas Bin Malik r.a. hadits ini mempunyai 2 jalan yg berbeza tetapi apabila dihimpunkan ianya berbunyi begini:
اللهم أكثر ماله، وولده وبارك له فيما أعطيته وأحسن عمله واغفرله

yang bermaksud: "Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anaknya, berkatilah dia pada semua kurniaan-Mu padanya, perbaikilah amalannya, dan ampunkan untuknya."

dan sekiranya diganti dhomirnya untuk kita doakan pada diri kita sendiri;

اللهم أكثر مالي، وولدي، وبارك لي فيما أعطيتني وأحسن عملي واغفرلي.

dan terbukti mukjizat doa Nabi s.a.w. ini apabila Anas bin Malik merupakan diantara sahabat Nabi s.a.w yang paling panjang umurnya. bahkan ada pendapat mengatakan beliau hidup lebih 200 tahun. kebunnya mendapat hasil yang banyak dan kurmanya lebih besar berbanding kurma orang lain walaupun kebunnya bersebelahan. kurmanya juga mempunyai bau yang harum dan dijual dengan harga yang lebih mahal berbanding kurma yang lain..

jom amalkan sunnah Nabi s.a.w untuk mendapatkan kesempurnaan dalam ibadah, bukan sekadar inginkan sah ibadah tersebut. teLiti setiap amalan yg kita lakukan, dalami iLmu, bukan sekadar ceLup2, ikut2 orang dan sebagainya walaupun amaLan tersebut dilakukan oleh majoriti masyarakat. moga Allah sentiasa beri hidayah pada kita.

wallahua`lam.

(sumber dr: DR. Zahazan Mohamed)

Monday, November 7, 2011

nikMat sihat yg sering disalahguna

suBuh yang hening dan sejuk, selesai solat berjemaah bersama seorang sahabat, dia meminta tolong saya memicit kepalanya. ditemani lampu stuDy yang maLap, saya pun tanpa berlengah memenuhi permintaan tersebut sambil bibir mengalunkan zikir2 ma`tshurat. bangun pagi tadi saya sedar, jari saya sedikit membengkak dan sendi-sendinya agak lenguh mungkin faktor cuaca yang sejuk. jadi inilah peluang saya untuk meregangkan otot-otot jari saya.



dari semalam sahabat saya kurang sihat. dia kata 3 kali juga dia ke tandas, muntah. ada juga saya tersedar dia berlari meluru ke tandas tengah-tengah malam. hajat di hati ingin membantu apa yang perlu, taPi apakan daya. hirom (selimut tebal musim sejuk yang beratnya 8kG, madE in china) lebih memerlukan saya. nikmatnya tidur...



dalam keasyikan memicit kepalanya, terkenang kisah Nabi s.a.w saat-saat baginda hampir wafat.

ketika kedatangan Malaikat Maut untuk mencabut nyawa Baginda yang Mulia, Malaikat maut datang menghampiri Rasulullah lalu Baginda menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" – "Umatku, umatku, umatku".

begitu sekali cinta baginda terhadap kita, umatnya.

tapi kita bagaimana? disaat kita sakit, apa yang kita cari?apa yang kita sebut?

jarang sekali kita mengamalkan doa-doa yang diajar Baginda s.a.w dan sunnah-sunnahnya.

Dengan itu dalam menghadapai sakit dan menjalani pemulihan kita harus melihat kepada penyembuhan rohani atau jiwa dahulu sebelum melengkapi penyembuhan fizikal untuk mencapai Penyembuhan Sempurna.

Diriwayatkan dari Uthman bin Abu Al Ash bahawa ia pernah mengadu kepada Nabi Muhammad SAW tentang badannya yang sakit sejak ia memeluk Islam. Lalu Baginda berkata padanya, letakkan tanganmu di bahagian yang sakit dan bacalah Bismillah 3 kali dan doa berikut ini 7 kali.

" أعوذ بعزة الله وقدرته , من شر ماأجد وأحاذر"

”Ya Allah, Aku berlindung pada keagunganmu Ya Allah dari keburukan rasa sakit yang aku deritai dan aku risaukan.”

(Hadis riwayat Imam Muslim, Malik, Abu Daud dan Al Tirmidzi)

saya sendiri pernah mengalami sakit gigi dan sangat berat untuk ke kLinik. lalu seorang sahabat menyarankan supaya saya minum susu, minuman yg sangat tidak digemari. kelam-kabut juga saya mencari doa dengan harapan tak perlulah susah payah ke kLinik. saya pun terjumpa doa ini dan saya baca doa ini pada susu tersebut sebelum diminum. ALHAMduLILLAH. mujarab biizniLLAH, Tanpa perlu berbelanja di kLinik gigi!






(pergh..kLu gini maunye awok nk g klinik gigi..tu pasal saya cari doa tuhh..)









antara doa lain yang Baginda Nabi s.a.w ajar..



(malas nak taiP jadi upLoad gambar pun ok je kan)

dan baaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaanyak lagi doa-doa yang Baginda s.a.w ajar untuk menjadi panduan pada kita. Allah pesan; "Fas`aLu ahLaz Zikr in kuntuM la ta`lamuuuun". jadi boLahlah tanya kt ust google @ pun dr. yahoo. kemungkinan mereka juga termasuk ahluzzikr sepertimana yg Allah sebutkan dlm firman tadi.

dan kepada kita yang menziarahi orang sakit; "berat mata memandang, berat lagi tangan untuk memberi bantuan". jadi kita doa jelah dan kata kat sahabat kita tu..


Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insyaAllah


dan juga

Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau.

"Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu." (At-Tarmizi & Abu Daud)

apa yang ingin saya tekankan di sini, betapa pentingnya menghidupkan sunnah Nabi s.a.w. dalam kehidupan seharian kita, bukan sekadar ketika sakit, ketika nak kahwin dan amalan-amalan yang bersifat ritual. kerana Dr. Zahazan kata kat saya, antara faktor mustajabnya doa kita adalah dengan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. dalam kehidupan seharian. diterima atau tidak itu urusan Allah s.w.t. yang penting kita amalkan supaya kita rasa dekat dengan Allah dan Baginda Nabi s.a.w. disamping menunjukkan perlunya kita bergantung pada Allah dalam segala keadaan.

disamping itu, perlu juga kita menjaga kesihatan dan mengamalkan kaedah pemakanan yang memberi manfaat pada tubuh badan kita. bukankah sihat tubuh badan itu antara sifat-sifat orang yang ditarbiyyah?



kepada sahabat saya;







~berbicara dengan gambar, bahaya juga search image ni kLu tak dapat kawal nafsu. lain dicari lain yg ditayang~



















Monday, November 29, 2010

no title

assalamualaikum...

lamanya tak menulis di sini...

ermm teringat dialoq novel Kasidah-Kasidah Cinta "Ingin aku anyam setangkai syair tentang pertemuan ini tapi lidah kotorku tidak mampu mencipta bahasa yang indah, walaupun untuk telinga sendiri.Maafkanlah aku..."

Friday, October 16, 2009

mendaMba iLmu di "kampung Menyorok"

berprogram bersama sahabat-sahabat 'baru' di kampung menyorok memberi banyak manfaat buat kmi..namun, kesukaran membendung rasa mengantuk membuatkan saya terasa sungguh rugi. terlintas di minda tentang kisah Imam Syafie di mana beliau pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.”

Ya Allah..bantulah aku dalam menjauhi maksiat dan kuatkanlah aku untuk mendidik hati yang Engkau kurniakan ini..

Ingin saya kongsikan disini tentang saranan salah seorang urusetia program tersebut kepada kami..beliau menggalakkan agar setiap dari kami mempunyai blog masing-masing kerana mnyedari kepentingan blog dalam usaha dakwah pada masa kini. katanya "kalau tak reti mengarang, copy n paste pun dah cukup baik. itu juga salah satu usaha dakwah.

dan yang peling pelik skali, saya mendapat hadiah sebiji bantal comel semasa akhir program....aduh...buat saya tertanya2...

kata2 yang akn di ingati smp bila2 dari urusetia program : kalau ada peserta yang ngantuk, bg selimut kt dia. biar penceramah tak geram tengok muka mengantuk peserta...