"Sesungguhnya Allah Ta`ala tidak mengutusakan daku untuk menyukarkan dan tidak pula sebagai mencari kesilapan dan keaiban orang lain, sebaliknya Allah Ta`ala mengutuskan daku sebagai guru yang memudahkan"(Riwayat Imam Muslim)
Bismillahi walhamduliLlah..
Untuk penulisan kali ini, saya cuba meluangkan masa bagi memenuhi permintaan beberapa orang sahabat supaya membuat catatan ringkas mengenai pembentangan bedah buku ”40 Teknik Rasulullah Mengajar”, yang telah saya sampaikan beberapa bulan sudah bersempena ‘Road To’ Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Jordan(PERTAMA) Kali Ke-VIII yg bertemakan pendidikan.
Di kesempatan yang terbatas ini, suka untuk saya berpesan terutama kepada diri saya sendiri, bahawa kita perlu sedar kepentingan menulis dalam mengekalkan sesuatu ilmu. Melalui penulisan juga dapat mewariskan sejarah daripada suatu generasi kepada generasi seterusnya dan banyak lagi kepentingan mencatat sesuatu ilmu. Penulisan dan menulis adalah diantara rahmat Allah yang besar buat hamba-hambaNya. Firman Allah Ta`ala di dalam surah al-`Alaq ayat 3-5 ;
"Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Saya cuba untuk meringkaskan tulisan ini namun ia tetap memakan ruang yang banyak. Beberapa buah hadis yang masyhur tidak saya nyatakan namun saya amat berharap agar para pembaca dapat menyemak kembali hadis yang saya maksudkan supaya jelas apa yang ingin disampaikan. Mudah-mudahan Allah kurniakan kefahaman.
MENGENAI PENULIS
Al`Allamah Syeikh al-Muhaddith al-Faqih Abdul Fattah Abu Ghuddah al-Halabi as-Suri dilahirkan di Syria pada tahun 1917 dan wafat pada tahun 1997 di Kota Madinah. Beliau merupakan seorang `alim dan pakar dalam bidang Hadis dan Fiqh.
Diantara penulisan beliau yang masyhur ialah “Ulama` al-`Uzzab” (Ulama yang Bujang), “Qeemah az-Zaman `inda al-`Ulama`” (Nilai Masa disisi Ulama) dan banyak lagi. Selain menulis, beliau juga turut mentahqiq beberapa buah kitab.
Rahimahullah.
AR-RASUL AL-MU`ALLIM
Tajuk sebenar bagi buku ini ialah ar-Rasul al-Mu`allim wa Asaaliibuhu fi at-Ta`lim yang bermaksud ‘Rasul Pendidik dan Teknik-teknik Baginda dalam Mendidik’. Penulis menghimpunkan 40 teknik Rasulullah Shallahu `Alaihi Wasallam dalam mendidik yang penulis dapati secara tidak langsung melalui penelitian beliau terhadap hadis-hadis Nabi shallahu `alaihi wasallam. Edisi bahasa Arab boleh didapati di laman sesawang dalam bentuk e-buku (PDF). Pun begitu, buku ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan telah diulang cetak beberapa kali. Diatas beberapa faktor kekangan, saya hanya menyentuh 7 teknik terpenting sahaja (pada pandangan saya) ketika pembentangan tersebut dan untuk penulisan ini.
Rasulullah merupakan Murabbi Agung dan pendidik terulung buat seluruh umat sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam al-Quran surah al-Jumu`ah ayat ke – 2:
"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata".
Sejarah telah menyaksikan pendidikan yang dibawa oleh Rasulullah berjaya mengubah sikap masyarakat Arab yang sebelumnya kasar menjadi lembut dan beradab, mengubah mereka daripada bermusuhan kepada saling berkasih-sayang. Melalui pendidikan tersebut jugalah agama Islam yang suci ini dapat kita anuti. Alhamdulillah.
Teknik 1 : Menjadikan dirinya sendiri dan budi pekertinya sebagai model pendidikan
Kaedah ini merupakan kaedah utama yang digunakan oleh Baginda shallahu `alaihi wasallam agar ia menjadi ikutan yang baik kepada para pelajar. Baginda tidak mengarahkan sesuatu perkara melainkan setelah Baginda melakukannya terlebih dahulu kemudian barulah diikuti oleh para sahabat berdasarkan apa yang mereka lihat. Ia merupakan cara terbaik agar mudah difahami dan lebih mendorong untuk diikuti berbanding pengajaran berbentuk teori dan penerangan lisan semata-mata.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud menceritakan :
Sesungguhnya seorang lelaki menemui Nabi lalu berkata; “Wahai Rasulullah bagaimanakah cara bersuci (berwudhu’)?
Kemudian Rasulullah shollallaahu ‘alaihi wasallam meminta bejana berisi air kemudian membasuh kedua telapak tangannya 3 kali, kemudian membasuh wajahnya 3 kali, kemudian membasuh kedua tangan hingga ke siku 3 kali, kemudian mengusap kepalanya, kemudian memasukkan dua jari telunjuk pada kedua telinga dan mengusap bagian luar atas telinga dengan ibu jarinya dan bahagian dalam telinga dengan jari telunjuknya, kemudian mencuci kedua-dua kaki baginda sebanyak tiga kali. Selanjutnya beliau bersabda: “Demikianlah cara berwudhu’, maka barangsiapa yang menambahnya atau mengurangkannya maka ia telah melakukan kesilapan dan kezaliman.”
Teknik 2 : Berdialog –soal jawab- dan pertimbangan akal fikiran
(Teknik ini saya gabungkan diantara teknik ke-5 dan ke-6 yang telah disusun oleh penulis memandangkan keduanya mempunyai perkaitan).
Berdialog dan bersoal jawab dapat menarik perhatian pendengar dan dapat mendorong mereka untuk menjawab persoalan tersebut. Jika para sahabat tidak dapat menjawab persoalan yang diutarakan oleh Nab shallahu `alaihi wasallami, maka jawapan yang diberikan oleh Nabi lebih mudah untuk difahami dan memberi kesan dalam jiwa pendengar.
Sebagai contoh, sebuah hadis masyhur riwayat Imam Ahmad yang panjang menceritakan mengenai seorang lelaki yang meminta izin daripada Nabi shallahu `alaihi wasallam untuk berzina. Di dalam hadis tersebut menunjukkan bagaimana Rasulullah mendidik dengan cara memahami psikologi pemuda tersebut tanpa membacakan ayat-ayat larangan dan ancaman kepada penzina, Nabi berdialog secara lembut agar pemuda tersebut dapat membuat pertimbangan akal sebaiknya dan tidak memberontak.
Penting bagi seorang pendidik untuk memahami psikologi mereka yang ingin dididik sama ada pendidikan tersebut disampaikan melalui lisan mahupun tulisan. Pendidik tidak sekadar perlu memikirkan apa yang ingin disampaikan tetapi perlu meraikan emosi dan psikologi mereka yang dididik agar nasihat yang disampaikan membekas dan tidak membuatkan mereka menjauhkan diri.
Teknik 3 : Menggunakan kiasan dan perumpamaan
Sesuatu perkara yang sukar digambarkan oleh akal perlu disampaikan secara kreatif agar ianya dekat dengan akal dan muncul dalam imaginasi lalu mampu diterjemah secara berkesan oleh pendengar. Uslub kreatif yang dimaksudkan di sini ialah melalui kiasan dan perumpamaan. Kiasan dan perumpamaan banyak digunakan di dalam al-Quran dan hadis untuk menggambarkan sesuatu perkara dalam bentuk yang mudah difahami.
Perumpamaan dan kiasan digunakan apabila sesuatu perkara yang ingin disampaikan agak samar dan hukumnya sukar untuk diketahui. Melalui kiasan dan perumpamaan, kesamaran tersebut dapat disingkap. Justeru, kiasan dan perumpamaan bertindak sebagai suatu kaedah dalam memahamkan hukum syara` dan maqashidnya (matlamatnya).
Daripada Abu Hurairah ra katanya:
Rasulullah saw bersabda:"Apa pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu dan dia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali.Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya? Para sahabat menjawab : Sudah pasti tidak terdapat sedikit pun kotoran padanya.Lalu baginda bersabda : “Begitulah perumpamaanya dengan solat lima waktu.Allah menghapuskan segala kesalahan mereka dengannya."
(Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim dan selainnya)
Teknik 4 : Menguji orang yang telah mengetahui sesuatu perkara dan memujinya jika jawapannya tepat.
Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Abu Al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, paling agung?".
Aku (Ubay) berkata: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui".
Sabda baginda: "Wahai Abu Al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, paling agung?".
Aku berkata: "Allahu Laa Ilaaha Illaa Huwal Hayyul Qayyum".
Lalu baginda menepuk dadaku, dan bersabda: "Semoga dipermudahkan ilmu bagimu, Abul Munzir". (Hadis riwayat Imam Muslim).
Teknik 5 : Memegang tangan atau bahu pendengar
Seorang ahli antropologi barat, Helen Fisher dalam bukunya ‘Anatomy Of Love’ menjelaskan pentingnya peranan sentuhan dalam memelihara kedekatan emosional diantara dua individu. Sentuhan menjadi alternatif untuk menyatakan simpati, upaya menularkan semangat positif dan ajakan melakukan sesuatu.
‘Abdullah bin ‘Umar r.a berkata :“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat Imam al-Bukhari).
Jika anda belum pernah mencuba teknik ini, mulakanlah ia hari ini. Dengan sentuhan, pendengar akan memberi perhatian yang lebih dan merasa dekat dengan anda.
Teknik 6 : Menyebutkan kisah-kisah dan berita umat terdahulu.
Sudah menjadi tabiat manusia tidak gemar jika sentiasa diberi arahan secara langsung seperti ‘jangan kamu berbuat begini’, ‘bersabarlah’, ‘taatlah’ dan sebagainya. Maka melalui kisah-kisah dan penceritaan, insan dapat mengambil motivasi dan iktibar tentang perkara yang mesti dilakukan, yang perlu ditinggalkan dan sebagainya. Satu pertiga ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran merupakan sejarah.
Terdapat sebuah hadis panjang yang masyhur riwayat Imam Bukhari dan Muslim mengenai kisah Juraij yang difitnah hasil doa ibunya yang terguris hati dengan sikap Juraij yang tidak mengendahkan panggilannya kerana ingin terus melakukan solat.
Hadis tersebut memberi iktibar kepada setiap anak supaya menyahut panggilan ibu walaupun sedang melakukan ibadah.
Teknik 7 : Marah dan bersikap tegas ketika perlu
Rasulullah shallahu `alaaihi wasallam menjadi marah apabila terdapat sahabat yang bertanya dan berbicara mengenai perkara yang tidak sepatutnya diperbincangkan. Ada ketikanya nabi akan mengalihkan perhatian penyoal kepada perkara yang lebih penting untuk difikirkan.
Daripada `Amru bin Syu`aib daripada ayahnya; Rasulullah keluar menemui para sahabat Baginda yang sedang bertengkar tentang masalah al-Qadar (ketentuan Allah keatas hamba sejak azali) lalu wajah baginda menjadi sangat merah seperti kemerahan biji delima lantaran terlalu murka.
Lantas baginda bersabda; “Apakah untuk ini kalian disuruh? Atau apakah kerana perkara ini kalian diciptakan? Kalian mencampuradukkan sebahagian al-Quran kepada sebahagian yang lain, justeru kerana perkara inilah umat-umat terdahulu sebelum kalian menjadi binasa.” (Riwayat Imam Ibnu Majah)
Teknik 8 : Bersabar dan meraikan persoalan
Teknik ini tidak terdapat di dalam buku ini tetapi ianya hasil rumusan perbualan saya bersama ayah saya ketika mendengar sebuah hadis yang dibacakan ketika kami sedang mendengar radio IKIMfm. Hadis tersebut ialah hadis “ibumu, ibumu, ibumu, kemudian ayahmu” yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.
Namun suka saya kemukakan sebuah hadis menarik yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim;
Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu-, dia berkata :
Saya bertanya kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam: “Amal perbuatan apa yang paling dicintai Allah?”
Beliau menjawab : “Shalat pada waktunya”.
Saya bertanya : “Kemudian apa?”
Beliau menjawab : “Berbakti kepada kedua orang tua”.
Saya bertanya : “Kemudian apa?”
Beliau menjawab : “Berjihad di jalan Allah”.
Ibnu Mas’ud radhiallahu’anhu berkata : “Rasulullah menyampaikan ketiganya kepada saya, jika saya menambah pertanyaan tentangnya, niscaya beliau menjawabnya”.
Jika dilihat pada hujung hadis, jelas kelihatan Baginda shallahu `alaihi wasallam begitu bersabar menyantuni persoalan yang dikemukakan oleh sahabat tersebut dan tidak melenting walaupun ditanyakan persoalan yang lebih kurang sama. Begitu juga pada hadis “ibumu, ibumu, ibumu kemudian ayahmu” yang masyhur dan tidak perlu untuk disebutkan di ruangan yang terbatas ini.
PENUTUP
Kata penulis di hujung buku beliau; “Inilah beberapa contoh daripada uslub mengajar yang digunakan oleh Rasulullah shallahu `alaihi wasallam dan saya menyebutkannya di sini hanyalah sebagai suatu penerangan dan penjelasan semata-mata, bukannya sebagai kajian dan huraian yang lengkap dan menyeluruh.
Tidak syak lagi seseungguhnya orang yang mengkaji hadis dan sirah baginda yang agung, ia akan menemui beberapa lagi uslub dan teknik yang lain (selain 40 uslub yang disebutkan).”
Selain daripada buku ini, masih banyak lagi buku-buku dan kajian mengenai kaedah nabi mendidik anak-anak, kaedah nabi berinteraksi dengan masyarakat, teknik mendorong pelajar gaya nabi dan sebagainya. Maka seharusnya bagi umat ini melaksanakan tugas mendidik berpandukan gaya dan teknik yang diamalkan oleh Rasulullah shallahu `alaihi wasallam supaya pendidikan tersebut memberi kesan positif dalam pembentukan masyarakat yang berakhlak. Namun, untuk mengetahui teknik dan method yang diamalkan oleh Nabi shallallahu `alahi wasallam perlulah sentiasa melazimi membaca hadis-hadis Baginda shallahu `alaihi wasallam.
Mudah-mudahan dengan kelaziman tersebut dapat menghidupkan hati kita agar sentiasa mencintai Nabi shallahu `alaihi wasallam dan meraih syafaat baginda di akhirat nanti.
Wallahu `Alam.
وصلى الله على سيدنا وحبيبنا ومربينا سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
Khaalahzu
20062014
Bayt Ilmi, Jordan.